Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan menggunakan dokumen palsu.

KUANTAN – Padah memalsukan 40 sijil cuti sakit (MC), dua lelaki masing-masing dihukum penjara 14 hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Majistret Ellyna Othman menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan menggunakan dokumen palsu.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, kedua-dua tertuduh secara tidak jujur membuat dokumen palsu berupa 40 sijil cuti sakit sebuah klinik dengan menggunakan nama serta tandatangan seorang doktor, dengan niat untuk menipu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Jalan Bypass Gebeng, di sini, antara 28 Mac hingga 13 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman diringankan.

Peguam memaklumkan anak guam mereka menginsafi kesalahan dilakukan dan berjanji tidak mengulanginya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan tersebut.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditahan serta denda RM8,000 setiap seorang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast