KUALA LUMPUR – Pengguna ruang udara serta penumpang yang merancang penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diminta bersiap sedia berikutan pelaksanaan penutupan ruang udara sementara di sekitar kawasan Kawalan Kawasan Terminal Kuala Lumpur hujung bulan ini.
Penutupan sementara itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada sesi latihan serta acara Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos depan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, penutupan berkenaan akan berkuat kuasa secara berperingkat bermula 26 hingga 29 Ogos sebelum penutupan rasmi pada hari kemuncak sambutan.
“Berdasarkan jadual yang dikeluarkan CAAM, penutupan ruang udara bagi sesi latihan awal akan bermula pada 26 hingga 28 Ogos dari jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Sementara itu, bagi latihan penuh pada 29 Ogos dan hari kemuncak Lintas Hormat Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, penutupan akan berkuat kuasa seawal jam 8.45 pagi hingga 9.45 pagi.
“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pergerakan pelepasan dan pendaratan pesawat terjadual di KLIA akan digantung sementara bagi memastikan sesi latihan dan acara lintas hormat dijalankan secara selamat dan teratur.
“Orang ramai juga berkemungkinan akan menyaksikan peningkatan aktiviti pesawat di ruang udara sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
CAAM turut menasihatkan para penumpang yang mempunyai jadual penerbangan pada tarikh dan waktu terbabit untuk berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi semakan status terkini.
“Ini memandangkan terdapat kemungkinan sesetengah penerbangan akan mengalami perubahan jadual atau penyesuaian susulan penangguhan sementara pergerakan pesawat,” katanya.
Dalam pada itu, CAAM turut mengeluarkan amaran keras terhadap penggunaan sebarang jenis dron atau Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) di kawasan terbabit sepanjang latihan dan hari acara berlangsung.
“Sebarang operasi dron tanpa kebenaran berisiko tinggi membahayakan keselamatan penerbangan, khususnya bagi pesawat yang terbang pada ketinggian rendah.
“Tindakan penguatkuasaan tegas boleh diambil di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 terhadap mana-mana pihak yang melanggar arahan ini.
“CAAM menghargai kerjsama dan kefahaman semua pihak terutamanya penumpang, syarikat penerbangan serta orang awam bagi memastikan kelancaran Lintas Hormat Hari Kebangsaan di samping menjamin keselamatan ruang udara negara,” menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette















