KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 21 September ini bagi memutuskan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beberapa isu awal diselesaikan sebelum mendengar perbicaraan kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan insiden serangan seksual pada 2018.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Christopher Leong yang mewakili Anwar serta Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Muhammed Yusoff.
Terdahulu, mahkamah mendengar bantahan Muhammed Yusoff terhadap permohonan perdana menteri agar beberapa isu awal didengar dan diselesaikan sebelum bermulanya perbicaraan saman sivil yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidiknya.
Anwar mahu beberapa isu didakwa berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadinya pada 2 Oktober 2018, ditentukan terlebih dahulu, sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.
Menurutnya, penentuan isu-isu tersebut berpotensi menyelesaikan keseluruhan saman tersebut tanpa perbicaraan penuh.
Dalam saman tersebut, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, beserta faedah dan kos, atas dakwaan beliau diserang oleh Anwar di kediamannya hampir lapan tahun lalu. – MalaysiaGazette















