Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Tan Sri M Kayveas untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung keputusan kerajaan berkaitan kepimpinan myPPP.

Panel tiga hakim turut memerintahkan Kayveas membayar kos keseluruhan RM60,000 kepada tiga responden dalam rayuan berkenaan.

Peguam yang mewakili responden ketiga, Datuk Dr Loga Bala Mohan Jaganathan, Gavin Jayapal berkata, keputusan sebulat suara itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 November 2023 yang sebelum ini enggan memberikan kebenaran kepada Kayveas untuk memulakan semakan kehakiman.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan antara lain menerima hujah bahawa Kayveas bukan lagi ahli myPPP sejak 2018 berdasarkan keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi parti.

“Mahkamah turut mengambil kira  beliau seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tidak mempunyai hak untuk memegang jawatan dalam pertubuhan berdasarkan Seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966.

“Dalam keadaan beliau bukan lagi ahli parti, mahkamah berpandangan sebarang keputusan berhubung tuntutannya akan menjadi akademik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Panel berkenaan terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lim Chong Fong, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Gavin berkata, mahkamah turut memutuskan walaupun Kayveas masih dianggap sebagai ahli, pertikaian mengenai keputusan dan pengurusan dalaman parti tertakluk kepada Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Katanya, peruntukan berkenaan menjadikan keputusan sesebuah parti politik mengenai hal ehwalnya sebagai muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Mahkamah berpandangan isu berkaitan Perhimpunan Agung pada 19 Mac 2023 serta status keahlian adalah perkara pengurusan dalaman parti.

“Mahkamah juga menegaskan bidang kuasanya tidak meliputi tafsiran perlembagaan, peraturan atau ketetapan dalaman parti dalam pertikaian seperti ini,” jelasnya.

Rayuan itu berpunca daripada tindakan Kayveas mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri berkaitan myPPP yang sebelum itu dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Antara isu dibangkitkan Kayveas ialah surat bertarikh 11 April 2023 yang menurutnya tidak ditandatangani sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, sebaliknya oleh seorang pegawai kementerian.

Bagaimanapun, panel Mahkamah Rayuan memutuskan apabila surat itu dibaca secara keseluruhan, khususnya perenggan tiga, adalah jelas keputusan tersebut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri.

Mahkamah turut berpandangan, walaupun ambang untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman adalah rendah, permohonan Kayveas tidak melepasi ambang berkenaan dan menyifatkannya sebagai remeh.

Rayuan utama kemudian ditolak dengan kos RM30,000 kepada Loga Bala Mohan serta RM30,000 lagi kepada Menteri Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Mahkamah turut menolak permohonan Kayveas yang difailkan pada 28 Julai lalu untuk menambah 25 individu baharu dalam Notis Rayuan selepas bersetuju dengan hujah responden bahawa tindakan itu dibuat terlalu lewat dan cuba membawa pihak baharu ke dalam kes asal yang diputuskan pada 2023.

Bagi permohonan berkenaan, Kayveas diperintahkan membayar kos RM15,000 kepada Loga Bala Mohan dan RM15,000 kepada Menteri Dalam Negeri serta Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Satu lagi permohonan berkaitan turut ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast