JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih memberi alasan tidak sengaja mengandung anak luar nikah selepas hampir setahun bersekedudukan dalam kawasan rumah kedai di Skudai di sini hari ini.
Hubungan terlarang tersebut terbongkar selepas pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima aduan orang awam berkenaan pasangan tersebut tinggal bersama-sama sejak sekian lama.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya kemudian melakukan operasi cegah maksiat dan tiba di kawasan rumah kedai tersebut pukul 2.50 pagi.
“Tingkat bawah adalah kedai yang sudah ditutup perniagaannya pada sebelah malam, tingkat atas pula adalah bilik-bilik sewa. Penguat kuasa mendapati pintu di bawah tidak berkunci dan terus naik ke tingkat atas.
“Penguat kuasa mengetuk satu bilik dengan kuat tetapi tidak menyahut. Kira-kira lapan minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki yang berseluar pendek dan t-shirt,” menurut kenyataan tersebut.
Penguat kuasa memperkenalkan diri dan lelaki tersebut cuba memperdaya dengan memgatakan dia tinggal seorang diri sebelum pihak JAINJ masuk untuk pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan penguat kuasa mendapati bilik tersebut gelap sebelum lampu dibuka dan menemukan seorang wanita berpakaian baju tidur nipis paras peha yang berdiri sebelah katil bujang.
Jelas JAINJ, pasangan berkenaan ini kelihatan tidak senang dan gugup dengan kehadiran penguat kuasa.
“Lelaki ini berumur 20-an dan berstatus bujang sementara wanita pula berumur 20-an masih belum berkahwin. Kedua-duanya bekerja di Johor Bahru.”
JAINJ memaklumkan mereka mengaku hanya bersekedudukan dan bukan suami isteri, hasil pemeriksaan lanjut mendapati keadaan katil berselerak.
“Bilik ini tiada tandas tetapi berkongsi tandas ramai-ramai dengan penghuni lain di luar bilik. Menurut maklumat awal pengadu, bilik ini adalah bilik sewa lelaki tetapi sudah hampir setahun mereka tinggal bersama-sama.
“Apabila ditanya bagaimana pasangan ini tidur berdua atas katil bujang, mereka kata seorang tidur bawah atas toto dan seorang atas katil.”
Hasil pemeriksaan lanjut JAINJ terhadap wanita terbabit, seorang penguat kuasa wanita melihat perubahan pada bentuk badan wanita dan didapati dia mengandung luar nikah.
Jelas JAINJ, wanita berkenaan akhirnya mengaku sedang mengandung enam bulan dan apabila ditanya, pasangan berkenaan mengakui mahu bernikah tetapi memberi alasan perlu menyelesai beberapa perkara.
“Mereka kata pada awalnya ingin bernikah tetapi setelah wanita ini ‘termengandung’, lelaki semakin takut untuk berdepan serta berterus terang dengan keluarga wanita. Mereka berpakat untuk melahirkan anak dahulu, selepas itu barulah bernikah.
“Kemudian mereka ditanya, apakah maksud perkataan mengandung tak sengaja itu. Maka lelaki itu bercerita terus terang dengan penguat kuasa iaitu dia belajar skil di internet.”
JAINJ dimaklumkan wanita terbabit, dia sudah lama tidak balik ke kampung untuk merahsiakan kehamilannya dan selepas ditangkap khalwat, kedua Ibu bapanya dipanggil untuk menjaminnya.
“Selepas ditangkap, ibu bapa wanita dipanggil sebagai penjamin dan terjadilah suatu drama yang amat-amat dahsyat. Mereka bertolak dari kampung dengan kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta.
“Apabila ibu bapa wanita tersebut diberitahu apa yang berlaku, mereka amat sedih dan kecewa apatah lagi anaknya sedang mengandung anak luar nikah.
“Apabila bertemu pegawai penguat kuasa, pada mulanya bapanya tidak mahu menjadi penjamin anaknya tetapi akhirnya berjaya ditenangkan dan dipujuk ibunya untuk menjadi penjamin.”
Pasangan berkenaan disiasat bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette
















