Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.

 

KUALA LUMPUR – Sebuah treler membawa muatan ayam sejuk beku terbabas sendiri di Jalan Istana, awal pagi tadi selepas pemandunya dipercayai tertidur ketika melalui selekoh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pemandu treler Volvo FM440 yang berusia 50 tahun tersebut dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Sungai Besi.

“Ketika melalui selekoh di lorong kedua, pemandu dipercayai tertidur sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan atau pengguna jalan raya lain.

Akibat kemalangan, pemandu mengalami patah tangan kiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar, katanya.

Treler terbabit mengalami kerosakan pada cermin hadapan, lampu dan bampar hadapan kiri serta pintu sebelah kiri.

Mohd Zamzuri berkata, ujian hembusan nafas menggunakan alat SD2+ mendapati pemandu tidak mempunyai kandungan alkohol dengan bacaan 0 miligram bagi setiap 100 mililiter, selain sampel darah pemandu turut diambil untuk menjalani ujian toksikologi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast