KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, Ong Kian Ming berharap perwakilan DAP yang akan mengundi pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026, Ahad ini memilih untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, terdapat satu alasan yang benar-benar kukuh mengapa pemimpin DAP harus meletakkan jawatan dalam Kabinet iaitu bagi memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan dan melaksanakan sekurang-kurangnya beberapa reformasi politik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16)
Katanya, para perwakilan DAP serta penyokong Pakatan Harapan (PH) kini sepatutnya sudah menyedari bahawa Anwar hanya bertindak balas dan mengambil tindakan apabila diberi tekanan, sama ada oleh individu, sekumpulan orang, sesebuah organisasi atau keadaan politik tertentu.
“Inilah tujuan asal Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menggesa diadakan kongres khas ini, iaitu sebagai satu cara untuk mengingatkan PMX (Anwar) bahawa para perwakilan DAP mempunyai kuasa untuk memaksa pemimpin DAP meletakkan jawatan daripada Kabinet, dan menggunakan pengaruh tersebut untuk memberi tekanan kepada PMX supaya menunaikan sebahagian daripada janji manifesto Pakatan Harapan sebelum berakhirnya sidang Parlimen ini,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Tambah Kiang Ming, Sekiranya Anwar melihat perwakilan mengundi supaya pemimpin DAP kekal dalam kerajaan walaupun terdapat beberapa perkembangan politik kebelakangan ini yang bertentangan dengan agenda reformasi asal PH, maka Anwar akan menganggapnya sebagai isyarat bahawa para perwakilan DAP sanggup menyokong beliau sehingga tamat penggal Parlimen.
Katanya, ia walaupun Anwar tidak melaksanakan sebarang reformasi politik yang substantif dari sekarang sehingga Parlimen dibubarkan.
Kiang Ming turut merujuk kes tiada tindakan lanjut terhadap bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; sekatan peruntukan terhadap Ahli Parlimen PKR serta penahanan blogger Bryan Kong dan Shamsul Saad sebagai perkara yang disifatkan bertentangan dengan agenda reformasi asal PH.
Tambahnya, apa pun yang disampaikan oleh para perwakilan atau tuntutan yang dikemukakan oleh pemimpin DAP dalam kongres khas itu mahupun melalui media sosial, sebarang pengaruh yang dimiliki DAP terhadap Anwar akan hilang pada saat majoriti perwakilan mengundi untuk `kekal’ dalam Kabinet.
Namun, ujar beliau, sekiranya, para perwakilan mengundi untuk `keluar’, pemimpin DAP masih boleh menentukan masa yang tepat untuk anggota Kabinet daripada DAP meletakkan jawatan.
“Mereka boleh mencapai persetujuan dengan Anwar bahawa peletakan jawatan hanya akan dilakukan selepas Belanjawan 2027 diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember 2026.
“Mereka juga boleh berunding dengan Anwar supaya beberapa perubahan perundangan penting diluluskan dalam sidang Parlimen ini, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta Akta Peruntukan Parlimen yang sama rata,” katanya.
Tambahnya, tindakan-tindakan itu mungkin tidak mencukupi untuk memastikan PH dan DAP kekal dalam kerajaan bagi penggal kedua selepas PRU-16.
Namun, ujarnya, ia sekurang-kurangnya membolehkan DAP mengatakan bahawa mereka sanggup meninggalkan kerajaan atas dasar prinsip, bukannya dituduh mengundi untuk melindungi kepentingan diri sendiri. – MalaysiaGazette
















