Mohd Jafni merasmikan Johor Smart City Forum 2026 di Tuanku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) di Pasir Gudang hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan memasang kira-kira 5,000 lagi kamera litar tertutup pintar (Smart CCTV) baharu di kawasan The Greater JB dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pemasangan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Beliau menjelaskan, pemasangan itu merupakan usaha mentransformasikan Johor menjadi Smart City atau Bandar Pintar yang menggunakan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) serta teknologi termaju.

“KIta sasarkan kira-kira 5,000 Smart CCTV baharu ini pada tahun depan di The Greater JB yang merangkumi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

“Insya-Allah dengan adanya lebih banyak Smart CCTV, warga bandar raya dan pelancong serta pengunjung yang datang pun akan rasa lebih selamat, sekali gus menambah kesejehteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Johor Smart City Forum 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, kerajaan juga akan memasang lebih banyak lampu isyarat pintar di negeri ini, khususnya di kawasan yang mempunyai kadar aliran trafik tinggi seperti di pusat bandar raya dan bandar.

Menurutnya, penggunaan lampu isyarat pintar sejak beberapa tahun lalu telah terbukti berjaya melancarkan aliran trafik, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di sesebuah kawasan.

Kerajaan juga akan memasang lebih banyak lampu jalan pintar di seluruh negeri ini untuk kemudahan rakyat, katanya.

“Biasanya orang ramai akan mengadu kepada PBT apabila berlaku kerosakan lampu, namun dengan lampu jalanan pintar ini, pihak PBT dan kontraktor akan terus menerima notifikasi tentang kerosakan itu menerusi telefon pintar.

“Justeru, kerja pembaikan kerosakan dapat dilakukan dengan lebih cepat,” katanya.

Terdahulu, Mohd Jafni dalam ucapannya memaklumkan kesemua 16 PBT di negeri ini berjaya mendapat penarafan sekurang-kurangnya tahap 1 bagi kategori Bandaraya Pintar.

“Paling membanggakan, MBJB adalah satu-satunya PBT di negara ini yang menerima penarafan tahap 3,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast