Dr Zulkifli Hasan menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasa Mu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini. Foto Ihsan YADIM.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkemaskan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) susulan syor-syor yang dibangkitkan dalam sidang khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pindaan itu akan diperhalusi di mana ia melibatkan pemegang taruh dalam usaha membina kerangka yang lebih menjamin institusi itu pada masa depan.

Menurut beliau, pindaan kepada akta berkenaan akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat persetujuan Kabinet.

“Sebenarnya memang sudah ada urus setia untuk mendapatkan yang terbaik. Syor-syor itu sekarang ini sedang dipertimbang dan sedang diperhalusi.

“Nanti kita akan bentangkan di Parlimen untuk diluluskan tetapi sebelum itu, ia perlu mendapat ‘endorsement’ daripada Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasa Mu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini.

Pada majlis itu, YADIM memberi pengiktirafan kepada 20 warga kerjanya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, manakala empat lagi menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Dr Zulkifli Hasan. Foto Ihsan YADIM.

Selalu lalu, pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, beberapa ahli Parlimen menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan pembaharuan menyeluruh dilaksanakan dalam tadbir urus institusi berkenaan.

Antara yang dibangkitkan ialah keperluan menyegerakan pindaan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535], memperkukuh pengawasan terhadap pelaburan dan pengurusan kewangan serta memastikan kepimpinan TH kekal profesional selain bebas daripada campur tangan politik.

Sementara itu, sejak APC diperkenalkan pada 2010, YADIM telah memberikan pengiktirafan kepada hampir 209 pegawai dan kakitangan yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Penganjuran itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada nilai, integriti, kecekapan dan manfaat kepada masyarakat.

Melalui usaha MADANI Membantu, pendekatan dakwah YADIM turut diterjemahkan dalam bentuk khidmat, kebajikan, pembangunan ilmu dan pemerkasaan masyarakat.

YADIM akan terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, inovasi dan integriti bagi memastikan setiap amanah yang dilaksanakan memberi impak yang nyata kepada agama, masyarakat dan negara. – MalaysiaGazette

Foto Ihsan YADIM.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast