Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

PUTRAJAYA – Penganjur RXZ Members disaran melaksanakan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menambah baik program tersebut pada masa akan datang.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, cadangan tersebut dibangkitkan dalam sesi libat urus bersama penganjur yang berlangsung semalam.

Antara cadangan pihaknya termasuk proses pendaftaran program berkenaan yang perlu dibuat dengan lebih teliti.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, masih terdapat banyak isu berkaitan dengan program RXZ ini terutama kemalangan serius membabitkan kematian.

“Sekiranya perkara itu berterusan, JPJ tidak akan memberikan sokongan kepada penganjuran terbabit. Jadi dalam sesi libat urus itu, kami beri pandangan, nasihat dan cadangan terhadap beberapa perkara,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Program Pengurusan Tertinggi JPJ Bertemu Media di sini hari ini.

Menurut Aedy Fadly, pendaftaran yang dibuat pihak penganjur sebelum ini didapati tidak lengkap.

“Pendaftaran penganjur hanya untuk peserta mendapatkan cenderahati seperti baju T serta cabutan bertuah,” katanya.

Dalam masa yang sama, penganjur program  ketika sesi libat urus memberi respon baik dan tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan JPJ.

“Di pihak penganjur, mereka ada berjumpa dengan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum program itu berlangsung. Jadi, kami sudah menasihatkan mereka untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk semua peserta.

“Jadi, pihak penganjur perlu mengambil tindakan supaya peserta mematuhi undang-undang ditetapkan kerana ada segelintir peserta tidak mematuhi peraturan sehingga mencemarkan imej program berkenaan.

“Justeru itu, kami cuba pendekatan lain termasuk mencadangkan pelaksanaan proses pendaftaran lebih baik kepada pihak penganjur dalam usaha menambah baik program terbabit,”tambahnya,

Sebelum ini dilaporkan, pihak penganjur RXZ Members diarahkan menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian secara sistematik.

Ia bagi bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.

Terdahulu, sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos lalu sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0.

Daripada jumlah itu, 11 kes atau 23.91 peratus adalah kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) kemalangan parah dan 30 kes (65.22 peratus) kemalangan ringan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast