AYER KEROH – Kerajaan disaran menyemak semula siling subsidi BUDI95 dan mengembalikannya sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan selain mempertimbangkan had sehingga 350 liter bagi golongan yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti lebih tinggi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim berkata, mekanisme subsidi bersasar perlu lebih responsif terhadap perubahan keadaan ekonomi dan tidak seharusnya membebankan kelompok yang benar-benar memerlukan perlindungan.
Menurut beliau, pengurangan had kelayakan BUDI MADANI RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai April 2026 merupakan langkah sementara susulan peningkatan harga minyak dunia dan kos subsidi.
“Kita memahami pertimbangan tersebut. Namun dasar yang baik juga perlu mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri apabila keadaan berubah.
“Jika tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus mengukuh dan hasil kerajaan memberikan ruang yang lebih besar, kita mencadangkan supaya siling subsidi BUDI95 disemak semula dan dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan sempena Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan 2026 MITC di sini malam ini.
Kamil berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan mekanisme tambahan sehingga 350 liter bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti lebih tinggi tertakluk kepada pengesahan data serta kriteria yang jelas.
Katanya, cadangan itu bukan bermaksud subsidi diberikan tanpa had atau kerajaan mengabaikan disiplin fiskal, sebaliknya memastikan dasar subsidi mengambil kira keperluan sebenar rakyat.
“Pemandu yang menggunakan kenderaan untuk perjalanan harian yang jauh, pekerja yang perlu berulang-alik antara daerah, mereka yang tinggal di kawasan dengan pengangkutan awam terhad serta kelompok yang menggunakan kenderaan sebagai sebahagian daripada sumber pendapatan mempunyai keperluan yang berbeza daripada pengguna biasa.
“Pendekatan bersasar tidak semestinya bermakna semua orang menerima jumlah yang sama. Ia bermakna mereka yang memerlukan lebih diberikan ruang yang munasabah, manakala ketirisan dan penyalahgunaan terus dibendung,” ujarnya.
Kamil berkata, kerajaan juga dicadangkan memperkenalkan mekanisme semakan berkala BUDI95 yang menghubungkan had subsidi dengan harga minyak dunia, kedudukan fiskal negara dan corak penggunaan rakyat.
Menurutnya, had subsidi tidak seharusnya ditetapkan secara kaku tanpa mengambil kira perubahan keadaan ekonomi.
“Dalam keadaan tertentu, 200 liter mungkin munasabah. Dalam keadaan lain, 300 liter mungkin lebih sesuai. Bagi kelompok yang mempunyai keperluan khas dan disahkan melalui data, 350 liter atau lebih boleh dipertimbangkan.
“Dasar yang baik ialah dasar yang mampu berubah apabila keadaan berubah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Kamil berkata, sebahagian penjimatan hasil rasionalisasi subsidi perlu diterjemahkan kepada program yang meningkatkan keupayaan rakyat khususnya dalam aspek pengangkutan awam, pendidikan, perlindungan sosial dan bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah.
Jelasnya, rakyat lebih mudah menerima rasionalisasi subsidi sekiranya penjimatan yang diperoleh kerajaan jelas disalurkan semula untuk manfaat mereka.
“Setiap ringgit yang dijimatkan daripada subsidi bukan hilang begitu sahaja, ia mesti mempunyai destinasi yang jelas dan memberi nilai yang lebih besar kepada kehidupan rakyat.
“Kerana akhirnya, tujuan ekonomi bukan untuk menghasilkan angka yang cantik di dalam laporan,” katanya. – MalaysiaGazette















