AYER KEROH – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengingatkan parti itu supaya memastikan amanah, prinsip dan nilai reformasi terus menjadi tunjang perjuangan.
Beliau berkata, reformasi tanpa amanah hanya akan menjadi slogan yang tidak lagi mampu mengubah kehidupan rakyat, terutama ketika PKR berdepan cabaran untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap parti dan politik.
“Tanpa amanah ilmu, kehilangan perjuangan. Tanpa amanah kuasa, kehilangan kuasa. Tanpa amanah kebebasan, kehilangan makna. Dan tanpa amanah reformasi menjadi slogan yang tak lagi mengubah kehidupan manusia.
“Reformasi adalah perjalanan manusia kembali kepada amanah. Dan perjalanan itu hanya dalam kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Nurul Izzah turut mengakui PKR perlu berusaha lebih keras untuk memenangi semula kepercayaan golongan muda yang kini semakin menjauhi politik dan parti politik.
Katanya, kekecewaan anak muda terhadap politik bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana mereka membesar dengan pengalaman melihat sendiri tindakan ahli politik, termasuk ketika berdepan pandemik Covid-19 dan pelbagai krisis yang berlaku selepasnya.
“Persoalannya bukanlah sekadar kekecewaan yang wajar, persoalannya bagaimana kita memenangi semula kepercayaan mereka,” katanya.
Menurutnya, anak muda tidak seharusnya hanya dilibatkan selepas sesuatu keputusan dibuat, sebaliknya perlu diberi ruang untuk duduk semeja, berbincang dan terlibat dalam proses membuat keputusan.
“Amanah yang saya serahkan ini bukanlah amanah menunggu. Ia adalah amanah mengisi ruang dengan segera yang sama tentang dan berjawab yang kita tak tinggalkan daripada wanita.
“Anak muda tak layak menunggu sehingga mereka cukup umur untuk dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, PKR perlu memastikan golongan muda bukan sekadar menjadi penerima bantuan, sebaliknya diberikan peluang menjadi peneraju dalam ekonomi, perusahaan, profesion dan proses membuat keputusan di negara ini.
Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya sentiasa bermuhasabah dan berani melihat diri sendiri bagi memastikan PKR tidak berubah menjadi apa yang selama ini ditentangnya.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita melihat diri kita sendiri di dalam cermin dan bertanya kepada diri, adakah kita telah mencapai apa yang kita sasarkan.
“Jika kita tidak sanggup melihat lelaki dan wanita yang berada di hadapan cermin itu, maka kita perlu mengubah cara kita. Kita perlu jujur terhadap diri sendiri,” katanya.
Nurul Izzah berkata, PKR perlu kekal menjadi sebuah parti yang menjadi rumah kepada pelbagai golongan, termasuk mereka yang progresif serta masyarakat daripada latar belakang kaum yang berbeza.
Katanya, perjuangan reformasi dan pembinaan masyarakat madani tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan sosial, demokrasi dan amanah.
“Sederhana dalam pendekatan, pragmatik dalam strategi, tapi tak pernah berkompromi pada prinsip. Itulah jantung reformasi ini dan itulah jantung Madani yang cuba kita bina semula hari ini,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan anggota parti bahawa kuasa bukan matlamat akhir perjuangan, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
Katanya, PKR perlu memastikan kepercayaan yang diberikan rakyat dibalas dengan hasil serta tidak mengulangi kesilapan yang boleh menyebabkan parti kehilangan sokongan. – MalaysiaGazette
















