Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika berucap pada Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau tidak mampu memenuhi kehendak semua pihak dalam perjalanan politiknya, sebaliknya memilih untuk kekal jujur kepada diri sendiri dan prinsip perjuangan.

Timbalan Presiden PKR yang diberikan cuti itu berkata, perjalanan politik seseorang pasti berdepan pelbagai pandangan dan penilaian, termasuk ketika seseorang itu menang, kalah atau membuat keputusan yang mungkin tidak disenangi semua pihak.

“Untuk sesetengah orang, tidak boleh diterima bahawa saya kalah pada 2022. Untuk sesetengah orang pula, tidak boleh diterima bahawa saya menang (jawatan Timbalan Presiden) 2025.

“Dan bagi yang lain, tidak boleh diterima bahawa saya meninggalkan (jawatan Timbalan Presiden PKR) pada 2026. Anda tidak boleh puaskan semua orang, tetapi anda hanya boleh jujur kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Nurul Izzah berkata, keputusan yang dibuat dalam perjalanan perjuangan politik perlu berlandaskan prinsip serta amanah, bukannya semata-mata untuk memenuhi kehendak atau persepsi semua pihak.

Menurutnya, beliau memilih untuk terus berjuang bukan hanya melalui parti, tetapi juga meneruskan perjuangan membina masyarakat madani.

Beliau turut mengingatkan anggota PKR supaya sentiasa bermuhasabah dan berani melihat diri sendiri bagi memastikan perjuangan reformasi yang dibawa parti tidak menyimpang daripada matlamat asal.

Katanya, perjuangan reformasi tidak seharusnya terhenti pada slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amanah, keadilan dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 6 Ogos lalu berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti menolak permohonan Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden, sebaliknya memberikannya cuti sementara.

MPP PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memutuskan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas timbalan presiden sepanjang ketiadaan Nurul Izzah.

Bagaimanapun, menerusi hantaran Facebook selepas kenyataan Fahmi diedarkan, Nurul Izzah sekali lagi menegaskan hasratnya untuk melepaskan jawatan nombor dua parti.

Pada hantaran itu, Nurul Izzah tidak menyebut dia sedang mengambil cuti malahan merujuk Saifuddin sebagai timbalan presiden parti, bukannya pengganti sementara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast