Tangkap layar hantaran tan tular dalam media sosial berkenaan seorang murid diekori sebuah Hilux semasa pulang dari sekolah di kawasan Taman Megah Ria, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga mendakwa anaknya yang berusia 12 tahun diekori dan dikejar sebuah pacuan empat roda Hilux semasa pulang dari sekolah di kawasan Taman Megah Ria di sini kelmarin.

Lelaki berkenaan menerusi satu hantaran dalam aplikasi thread atas akaun chompchomp_pasta taman megah ria mendakwa, kejadian tersebut berlaku semasa anaknya bersama-sama rakan berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

“Anak saya perasan ada satu Hilux follow dorang dari belakang pelan-pelan dari dewan serbaguna hingga ke area masjid Taman Megah Ria. Anak saya tak sedap hati dan suruh kawan dia lari dan berpecah.

“Tapi Hilux tu kejar anak saya siap pusing dua kali kejar.. mujur ada kakak jual nasi campur kat depan rumah dan dia panggil anak saya,” tulis lelaki berkenaan.

Menurutnya, wanita berkenaan memanggil anaknya duduk bersama tetapi pemandu Hilux berkenaan berhenti di kawasan rumah penjual terbabit.

“Dia panggil anak saya duduk dengan dia. Tapi Hilux tu boleh pulak berhenti kat kawasan rumah kakak tu. Baik ada pakcik dan anak dia keluar dari rumah, Hilux tu pun gerak.

“Pinjam phone kakak tu, call isteri saya suruh datang untuk ambil anak saya. Isteri call saya masa saya tengah niaga, terkejut jugak sebab pagi tu masa hantar dia sekolah saya ada pesan nanti nak balik rumah jaga-jaga alert dengan surrounding tengok kiri kanan,” ujarnya.

Dia berkata, wanita berkenaan memberitahu isterinya bahawa sebelum ini ada dua budak perempuan turut menjadi sasaran Hilux warna hitam tersebut.

Jelasnya, wanita tersebut juga mendedahkan dia turut membantu serta menyelamatkan dua budak perempuan berkenaan.

“Bila saya tanya anak saya nampak tak orang kat dalam (Hilux) tu, dia kata perempuan bertudung pakai spec hitam. tapi sebelah seat tak nampak sebab gelap. Perempuan tu sempat ambil gambar anak dan kawan dia. Number plate tak sempat hafal sebab anak saya dah takut,” tulisnya.

Sehubungan itu, dia menasihatkan semua pihak berhati-hati dan sentiasa peka dengan persekitaran ketika balik dari sekolah terutama para pelajar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu pukul 4.45 petang pada Selasa lalu daripada kanak-kanak terbabit yang berusia 12 tahun.

“Kanak-kanak tersebut mendakwa diekori sebuah kenderaan di kawasan Seri Alam. Pasa masa sama pihak polis turut mengesan kejadian tersebut selepas dimuat naik dalam media sosial thread oleh pemilik chompchomp_pasta.

“Polis Seri Alam memandang serius mengenai kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan lanjut serta mengenal pasti saksi-saksi dan motif kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemantauan di kawasan terbabit dipertingkatkan agar keselamatan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara.

Pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahib mengenai kes tersebut.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Seri Alam 07-3871422 atau hotline 07-3861422.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast