Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya bergambar bersama penerima Bantuan Dana Wakalah MBSB dan STMB ketika lawatan tuai hasil ke Projek Fertigasi Cili Asnaf MAIWP dengan kerjasama strategik Agrobank di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperkasa golongan asnaf supaya mampu menjana pendapatan sendiri mula membuahkan hasil apabila projek tanaman fertigasi cili kendaliannya mencatat pulangan lebih RM207,000 pada musim pertama.

Projek menerusi Program Hijrah Asnaf Tanaman Fertigasi Cili MAIWP itu turut memberi peluang kepada 10 peserta asnaf memperoleh kemahiran dalam pengurusan tanaman, pemasaran, kewangan dan keusahawanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hasil tuaian pertama projek berkenaan mencapai lebih 16 tan cili, sekali gus membuktikan potensi program itu untuk dikembangkan.

“Alhamdulillah, kita melihat projek ini sangat cemerlang. Tuaian pertama sahaja menyaksikan lebih 16 tan cili berjaya dihasilkan dan membawa pulangan lebih RM207,000 kepada asnaf kita.

“Seramai 10 asnaf terlibat dalam projek ini dan mereka bukan sahaja dibekalkan pengetahuan mengenai fertigasi cili, tetapi juga pemasaran, kewangan dan aspek lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menuai hasil projek fertigasi cili berkenaan di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, di sini hari ini.

Program yang bermula di kawasan seluas tiga ekar itu kini diperluaskan kepada lima ekar bagi musim kedua susulan pencapaian memberangsangkan pada musim pertama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika melakukan lawatan tuai hasil ke Projek Fertigasi Cili Asnaf MAIWP dengan kerjasama strategik Agrobank di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OGOS 2026.

Menurut Zulkifli, MAIWP turut merancang mengembangkan program berkenaan kepada penghasilan produk hiliran berasaskan cili bagi memberikan nilai tambah kepada hasil pertanian.

Katanya, antara produk yang telah mula dihasilkan ialah jeruk cili, sambal hijau dan sambal merah yang berpotensi dipasarkan secara lebih meluas.

“Sekarang ini kita mahu kembangkan lagi bukan hanya menanam cili tetapi menghasilkan produk-produk cili yang boleh dipasarkan.

“Mereka sudah ada jeruk cili, sambal hijau dan sambal merah. Ini yang kita mahu lihat, asnaf kita mempunyai kemahiran dan mendapat bimbingan daripada industri serta MAIWP,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika melakukan lawatan tuai hasil ke Projek Fertigasi Cili Asnaf MAIWP dengan kerjasama strategik Agrobank di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OGOS 2026.

Program itu dilaksanakan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Agrobank, yang menyediakan teknologi, kepakaran, bimbingan, pembangunan kapasiti dan sokongan keusahawanan kepada peserta.

Bagi menyokong pelaksanaannya, dana wakalah berjumlah RM848,000 disediakan, membabitkan RM700,400 daripada Agrobank dan RM147,600 daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP.

Kerjasama strategik MAIWP dan Agrobank menerusi Agrobank Centre of Excellence (ACE) sejak September 2025 turut merangkumi aspek pemantauan serta pembangunan kapasiti peserta.

MAIWP pula berperanan mengenal pasti asnaf berpotensi, membangunkan kemahiran mereka dan membuka peluang dalam sektor pertanian bagi membantu mereka keluar daripada kebergantungan terhadap bantuan.

Pendekatan itu selari dengan aspirasi hijrah ekonomi, iaitu mengubah golongan asnaf daripada penerima bantuan kepada individu yang mampu menjana pendapatan, berdikari dan berpotensi menjadi pembayar zakat.

Sehingga 12 Ogos lalu, MAIWP telah mengagihkan kira-kira RM699.57 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan, selain melaksanakan program pembangunan asnaf dan bantuan tidak langsung melalui institusi pendidikan miliknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam Yahya menurunkan tandatangan ke atas plak perasmian ketika lawatan tuai hasil ke Projek Fertigasi Cili Asnaf MAIWP dengan kerjasama strategik Agrobank di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 OGOS 2026.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast