GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menjalankan siasatan dan ujian makmal terhadap papadum berwarna yang dijual di pasaran susulan kebimbangan terhadap penggunaan pewarna tiruan secara berlebihan atau bahan pewarna yang dilarang.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan tindakan Jabatan Keselamatan Makanan Tamil Nadu (TNFSD) di India yang mengarahkan larangan penjualan papadum berwarna yang mengandungi pewarna tiruan secara berlebihan kerana dikhuatiri memberi risiko kepada kesihatan, terutama kanak-kanak.
Beliau berkata, tinjauan pasaran CAP baru-baru ini di Pulau Pinang mendapati papadum berwarna terang dari India masih mudah didapati di pasaran tempatan.
“Produk berkenaan dijual pada harga murah, dengan sesetengahnya serendah RM1.25 bagi setiap 100 gram, sekali gus menjadikannya mudah diperoleh pengguna.
“Warna yang menarik dan harga murah menjadikannya pilihan keluarga, sekali gus meningkatkan risiko pendedahan sekiranya produk terbabit mengandungi pewarna secara berlebihan atau tidak diluluskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohideen berkata, menurut TNFSD, pengambilan pewarna sintetik secara berlebihan boleh menyumbang kepada masalah penghadaman, reaksi alahan dan komplikasi berkaitan buah pinggang.
Katanya, pendedahan jangka panjang kepada pewarna makanan tiruan tertentu yang dilarang atau digunakan secara berlebihan turut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit serius, termasuk kanser.
“Kanak-kanak mungkin lebih terdedah kepada risiko ini memandangkan terdapat kajian yang mengaitkan pewarna makanan tiruan tertentu dengan masalah tingkah laku seperti Gangguan Hiperaktif Kekurangan Perhatian (ADHD) dalam kalangan individu yang rentan,” katanya.
“Sehubungan itu, kita menggesa KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan segera menjalankan pensampelan serta analisis makmal di seluruh negara terhadap papadum berwarna yang dijual di pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka, pasar malam, gerai tepi jalan dan premis jualan makanan import.
“Produk yang didapati mengandungi tahap pewarna yang dibenarkan secara berlebihan atau bahan terlarang hendaklah ditarik balik dengan segera dan tindakan penguatkuasaan sewajarnya perlu diambil terhadap pengimport, pengedar serta peruncit yang bertanggungjawab memasarkan produk tidak selamat itu,” katanya.
Mohideen turut menggesa KKM memperkukuh pemantauan terhadap makanan ringan yang diimport dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Makanan 1985, khususnya berkaitan penggunaan bahan tambah makanan dan pewarna yang dibenarkan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan penampilan produk yang berwarna terang ketika membeli makanan ringan untuk anak-anak.
“Pengguna perlu memilih papadum yang disediakan secara tradisional menggunakan bahan semula jadi seperti urad dal dan tepung beras, yang tidak bergantung pada pewarna tiruan secara berlebihan untuk menarik minat pembeli.
“Tindakan pihak berkuasa Tamil Nadu itu menjadi peringatan penting supaya Malaysia turut mengamalkan pendekatan berwaspada terhadap keselamatan makanan.
“Pemantauan dan penguatkuasaan yang bersifat pencegahan adalah penting bagi melindungi pengguna sebelum produk yang tidak selamat mendatangkan kemudaratan,” katanya. – MalaysiaGazette















