KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM37.1 juta, empat tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Seri Zul Azmi Abu Hussin, 51, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Zul Azmi didakwa sebagai pengarah Syarikat Xspec Resources Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu dana syarikat, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM37,099,999.67.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Tunku, Bukit Tunku di sini, pada 15 Februari 2022 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Suriatey Mohamed Yusoff memohon tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehinggga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam bela Edly Mohammad Firdaus memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM50,000 atas alasan anak guamnya menanggung isteri, lima anak dan ibu bapa selain mempunyai kolestrol serta darah tinggi.
“Beliau memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat. Jaminan bukan satu bentuk hukuman awal terhadap seseorang tertuduh, sebaliknya bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 5 Oktober ini. – MalaysiaGazette
















