MELAKA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui prestasi PKR dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN), termasuk Johor dan Negeri Sembilan, perlu diberi perhatian serius susulan kegagalan parti itu mencapai keputusan yang diharapkan.
Presiden PKR itu berkata, walaupun prestasi ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif, kerajaan masih gagal menyampaikannya dengan berkesan sehingga tidak berjaya memenangi jiwa rakyat.
“Jadi ada yang mengeluh katanya, oh ini kisah duka (kalah PRN) Johor, Negeri Sembilan. Saya jawab, “Betul! Jangan salahkan yang lain. Memang betul.
“Pelbagai tafsiran dan teori ada, tapi saya tidak nafikan satu hal, prestasi ekonomi baik, semua angka-angka ekonomi menakjubkan…tetapi ia tidak dapat menangkap jiwa, memenangi jiwa rakyat.
“Bukan salah ibu mengandung. Salah kita kerana kurang pintar menyampaikannya dan mungkin ada hal-hal yang belum disempurnakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Kongres bertemakan “Memugar Reformasi, Membina Madani”, kongres tahun inikali ini disertai 2,394 perwakilan, selain lebih 2,000 pemerhati berdaftar.
Turut hadir kira-kira 2,700 perwakilan sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita sebagai pemerhati selain Kongres 26 wakil diplomatik dari 19 negara, termasuk enam Duta Besar.
Anwar berkata, keputusan pilihan raya yang kurang memberangsangkan tidak seharusnya hanya disandarkan kepada faktor politik atau pihak lain, sebaliknya PKR perlu berani menerima teguran dan menilai kelemahan sendiri.
Tegasnya, pencapaian ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada kefahaman dan keyakinan rakyat, bukannya sekadar dilihat melalui angka serta indikator ekonomi. – MalaysiaGazette
















