MELAKA – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan golongan veteran atau ‘otai’ serta rakan-rakan yang pernah berasa terpinggir untuk kembali bersama meneruskan perjuangan parti.
Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat kesilapan yang menyebabkan mana-mana pihak berasa tersisih, beliau memohon maaf dan mengajak mereka kembali ke landasan perjuangan.
“Otai-otai yang kadang-kadang ya biasa…sila kembali. Rakan-rakan saya yang lain yang mungkin rasa sedikit terpinggir, kalau ada apa-apa kesilapan kita, saya mohon maaf.
“Kembalilah kepada landasan perjuangan kita,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, PKR juga mahu merangkul parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan dakwah Islam dan badan kebajikan dalam usaha memperkukuh perjuangan untuk kepentingan negara.
“Dan saya nak rangkul parti-parti, NGO, badan-badan dakwah Islam, badan-badan kebajikan. Saudara-saudari, ini bukan soal parti, ini soal negara,” katanya.
Anwar berkata, perjuangan politik perlu bersifat inklusif dengan mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak serta semua kaum di negara ini.
“Parti mana yang berteras di Semenanjung yang bicara soal Sabah, Sarawak? Keadilan. Parti mana yang bicara soal perubahan tapi masih terapkan keperluan untuk merangkul semua kekuatan?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan membela kepentingan Melayu tidak seharusnya disertai tindakan merendahkan atau menghina kaum lain. – MalaysiaGazette
















