Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AYER KEROH – Kerajaan akan meneruskan usaha membongkar isu berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selepas selesai meneliti dakwaan penyelewengan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, perkara itu turut ditekankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika pertemuan dengannya baru-baru ini supaya siasatan terhadap institusi milik rakyat tidak terhenti setakat TH.

“Agong minggu lalu maklum kepada saya, perdana menteri, jangan berakhir dengan TH sahaja. Teruskan.

“Agong tanya siapa jaga Felda sekarang. Saya jawab saya. Selesai TH, bongkar Felda,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau mengambil harta rakyat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil segera terhadap pihak yang terbabit dalam sebarang bentuk penyelewengan.

“Siasat. Tindakan badan penguatkuasaan. Tetapi percayalah, arahan jelas, siapa yang bertindak melanggar peraturan, curi harta rakyat, yang sakau itu, beberapa kalangan yang terpaksa bayar Melayu, Cina, India, Kadazan kerana penipuan mereka.

“Arahan, ambil tindakan sepantas mungkin,” katanya yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan.

Anwar berkata, usaha membongkar sebarang salah laku perlu dilakukan secara tegas bagi memastikan kepentingan dan harta rakyat terus dilindungi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast