KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan 15 notis pemeriksaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) menerusi operasi penguatkuasaan di sekitar Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Ogos lalu.
Dalam operasi itu, sebanyak tiga lokasi pelancongan, sembilan premis perniagaan dan tiga individu diperiksa oleh pegawai penguat kuasa MOTAC dari ibu pejabat serta pejabat negeri.
Daripada 15 notis yang dikeluarkan, sembilan notis adalah di bawah subseksyen 5(2) kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen sah.
MOTAC dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan hasil risikan pegawai penguat kuasa, selain aduan dan maklumat daripada orang awam, penggiat industri serta persatuan pelancongan.
“Risikan dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur (KLTGA) bagi mengesan beberapa individu yang disyaki menjalankan aktiviti pemanduan pelancong tanpa lesen sah turut dijalankan.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah subseksyen 21(1) telah diambil terhadap individu yang menjalankan pemanduan pelancong tanpa lesen sah,” katanya.
Selain itu, operasi turut mengesan kesalahan menggunakan kenderaan persendirian atau tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong, gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan serta berurus niaga dengan pihak tidak berlesen.
MOTAC berkata, tindakan terhadap penggunaan kenderaan persendirian atau tidak dilesenkan bagi pengangkutan pelancong akan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap kesalahan yang melibatkan individu, entiti, pemilik dan pihak yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, MOTAC memberi amaran tegas kepada pihak tidak berlesen supaya tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan termasuk pemanduan pelancong, pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan melalui dalam talian, media sosial, secara fizikal atau medium lain.
Pihak yang melakukan kesalahan boleh dikenakan kompaun maksimum RM250,000, manakala jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482.
MOTAC turut menggalakkan orang ramai dan penggiat industri menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar undang-undang melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kementerian. – MalaysiaGazette
















