MELAKA – Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan mencadangkan ketua cabang parti itu dinamakan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membolehkan mereka bekerja lebih awal untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.
Pelakon dan pengarah filem terkenal itu berkata, cadangan berkenaan mungkin dianggap radikal, namun ia penting bagi membolehkan ketua cabang memainkan peranan sebagai wakil parti di kawasan masing-masing.
“Ini (usul) mungkin ada yang suka, ada yang tak suka. Tapi saya kena cakap.
“Usul saya ini agak radikal iaitu namakan ejen-ejen iaitu ketua-ketua cabang sebagai calon PRU,” katanya yang mewakili Wilayah Persekutuan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR di sini, hari ini.
Cadangan itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan kongres.
Afdlin berkata, penamaan awal itu juga tidak seharusnya dilihat sebagai keputusan muktamad kerana calon boleh ditukar sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab atau tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan.
“Kalau dalam masa setahun lebih ini mereka tak berfungsi, tukar. Kalau mereka tak boleh buat, tukar.
“Tapi namakan mereka dulu sebagai calon supaya mereka boleh buat kerja, mereka mendapat kepercayaan oleh rakyat dan mungkin dapat bantuan daripada mereka yang ingin membantu,” katanya.
Menurut Afdlin, pendekatan itu selari dengan usaha PKR untuk membina gerakan politik yang mendapat kepercayaan rakyat, bukannya bergantung kepada ketakutan atau sekadar menghasilkan suara paling lantang.
“Daripada semuanya lahirlah nahdah. Bukan gerakan yang paling bising, bukan gerakan yang paling pandai memainkan ketakutan, tetapi gerakan yang paling dipercayai,” katanya.
Dalam ucapan penuh emosi, Afdlin turut menegaskan kesediaan anggota PKR untuk terus menjadi pendukung perjuangan parti, selain menekankan bahawa perjuangan reformasi bukan sekadar untuk melawan tetapi membina negara.
“Datuk Seri Presiden, Datuk Seri dah pesan 30 tahun dulu, cuma kami yang lalai. Tetapi hari ini kami dengar dan kami bersedia.
“Kami bersedia menjadi tentera bagi Keadilan. Bagi kami amanah, bagi kami ke depan. Perjuangan kita bukan sekadar untuk melawan, perjuangan kita adalah untuk membina,” katanya sebak. – MalaysiaGazette
















