Program Sabil Al-Hikmah iaitu inisiatif bantuan makanan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya daripada kategori B40.

PAGOH – Program Sabil Al-Hikmah yang telah dilaksanakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula Mac 2016 sehingga Ogos 2026 telah memberi manfaat kepada seramai 3503 pelajar dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM723,967.

Program Sabil Al-Hikmah iaitu inisiatif bantuan makanan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya daripada kategori B40 merupakan antara inisiatif kebajikan berterusan UTHM dalam membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang mengikuti pengajian di universiti.

Pada peringkat awal pelaksanaannya, program itu digerakkan secara gotong-royong melibatkan warga dan Pusat Tanggungjawab (PTj) UTHM yang bersama-sama memasak serta menyediakan makanan untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.

Seiring perkembangan semasa, kaedah pelaksanaan Sabil Al-Hikmah terus ditambah baik bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih mudah, tersusun dan sistematik.

Bermula tahun 2017 hingga 2022, pelajar mendapatkan makanan di kafeteria terpilih dengan menunjukkan kad matrik sebagai bukti penerima, sebelum kaedah tersebut dipertingkatkan melalui penggunaan kod QR pada tahun 2023 dan 2024.

Mulai tahun 2025, pelaksanaan program memasuki fasa pendigitalan menerusi penggunaan ‘Pay Sabil App’ yang membolehkan penerimaan makanan oleh pelajar direkodkan secara lebih sistematik.

Penggunaan aplikasi tersebut turut memudahkan urusan tuntutan oleh pihak kafetaria selain membolehkan rekod penerima dan transaksi makanan dipantau serta dilaporkan dengan lebih teratur.

Bagi kemasukan pelajar Diploma sesi 2026/2027 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, program Sabil Al-Hikmah bermula pada 10 Ogos hingga 29 September 2026 dan akan diteruskan sepanjang semester pengajian.

Seramai 100 pelajar diperuntukkan menerima bantuan makanan melalui kafeteria terpilih di kampus, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka sepanjang tempoh pengajian.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, pelaksanaan program Sabil Al-Hikmah mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, khususnya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, bantuan makanan yang disediakan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, malah diharap dapat membantu mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian tanpa terlalu dibebani dengan kos sara hidup harian.

“Kita mahu memastikan tiada pelajar UTHM yang tercicir atau terjejas pengajiannya disebabkan kekangan kewangan.

“Sabil Al-Hikmah merupakan manifestasi keprihatinan dan semangat kebersamaan seluruh warga universiti serta para penyumbang dalam menyantuni mahasiswa yang memerlukan dan usaha ini akan berterusan agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para dermawan dan warga UTHM yang menyumbang melalui potongan gaji serta pelbagai bentuk sumbangan lain yang menjadi antara sumber utama kelangsungan program Sabil Al-Hikmah.

“UTHM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para dermawan, warga universiti dan semua pihak yang terus memberikan sumbangan serta sokongan bagi memastikan program Sabil Al-Hikmah dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here