KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) disambut baik namun Keadilan serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) dicabar memugar imej dan pendekatan bagi menarik minat mahasiswa.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan agenda reformasi yang diperjuangkan sejak sekian lama bukan sekadar slogan politik.
Menurutnya, isu AUKU telah dibincangkan sejak sekian lama, terutama dalam kalangan mahasiswa yang mahukan ruang lebih luas untuk bersuara dan terlibat dalam perbincangan mengenai masa depan negara.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri hari ini. Ini keputusan yang mempunyai makna besar kepada mahasiswa serta mereka yang mengikuti perjalanan reformasi pendidikan tinggi negara.
“Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkan AUKU, ia menunjukkan reformasi sedang diterjemahkan melalui tindakan dan bukan hanya disebut dalam ucapan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Saifuddin berkata, keputusan itu turut menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap kematangan mahasiswa dalam menggunakan ruang yang diberikan secara bertanggungjawab.
Katanya, mahasiswa hari ini mempunyai akses luas kepada maklumat, mengikuti perkembangan semasa dan mempunyai pandangan sendiri terhadap pelbagai isu dalam negara.
“Mahasiswa perlu diberikan ruang untuk menyatakan pandangan, termasuk apabila mereka mempunyai pendirian berbeza. Kita mahu anak muda yang berani berhujah, mempunyai pendirian dan pada masa sama menghormati perbezaan.
“Saya percaya langkah seterusnya selepas pemansuhan AUKU akan membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa serta memperkukuh kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi,” ujarnya.
Begitupun, beliau berkata, pemimpin pelajar yang cenderung kepada Keadilan perlu segera bersedia merebut peluang daripada pemansuhan AUKU yang disifatkannya bakal mewujudkan suasana seperti ‘pasaran terbuka’ dalam usaha menarik minat mahasiswa.
“Persaingan daripada gerakan mahasiswa yang cenderung kepada haluan politik lain sudah tentu akan wujud. Jika ruang ini tidak dimanfaatkan dengan baik, kelebihan itu mungkin akan berpihak kepada pihak lain.
“Maka, saya menyambut baik keputusan ini tetapi pada masa sama saya mencabar Keadilan dan AMK untuk memugar imej dan pendekatan agar dapat diterima dengan lebih baik dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Saifuddin berkata, Keadilan mempunyai sejarah yang rapat dengan gerakan anak muda dan mahasiswa, namun kekuatan itu tidak seharusnya dianggap sebagai jaminan untuk terus mendapat penerimaan generasi mahasiswa hari ini.
“Kita tidak boleh mengharapkan mahasiswa menerima Keadilan hanya kerana sejarah perjuangan reformasi yang kita bawa. Kita perlu mendekati mereka, mendengar pandangan mereka dan memahami aspirasi generasi mahasiswa hari ini,” katanya.
Menurutnya, pemansuhan AUKU memberi ruang kepada mahasiswa untuk lebih aktif bersuara dan Keadilan serta AMK perlu memanfaatkan perubahan itu dengan membawa idea, dasar dan pendekatan yang dekat dengan golongan berkenaan.
“Reformasi bukan sesuatu yang dapat diselesaikan dalam sehari. Ada perkara yang memerlukan masa, proses dan penelitian sebelum sesuatu perubahan dapat dilaksanakan.
“Pengumuman hari ini adalah perkembangan yang cukup bermakna. Ia menunjukkan kerajaan kekal dengan komitmen melakukan pembaharuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar umum akan mansuh AUKU 1971 beri kebebasan pada mahasiswa
















