JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan kerangka perundangan dan tadbir urus universiti perlu sentiasa melalui fasa penambahbaikan agar seiring perkembangan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu juga agar selari dengan perkembangan ilmu, tuntutan masyarakat serta aspirasi negara untuk melahirkan graduan yang berdaya fikir dan mampu menyumbang secara konstruktif kepada pembangunan negara.
“UTM menyambut baik dan menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara melalui agenda transformasi yang menekankan autonomi institusi, kebebasan akademik dan pembangunan mahasiswa di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institut pengajian tinggi (IPT) terpelihara.
“UTM percaya autonomi universiti perlu diseimbangkan dengan akauntabiliti, tadbir urus berintegriti serta tanggungjawab sosial, manakala pemerkasaan mahasiswa harus merangkumi pembangunan kepimpinan, pemikiran kritis dan nilai sivik serta adab,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebagai universiti berteraskan inovasi dan teknologi, UTM komited untuk menyediakan persekitaran akademik yang terbuka dan inklusif serta menyokong usaha KPT dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.
Katanya, UTM bersedia menyumbang kepakaran dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda transformasi ini memberi impak positif kepada institusi, mahasiswa dan daya saing global universiti.- MalaysiaGazette
















