Datuk Seri Anwar Ibrahim

AYER KEROH – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau memilih untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepentingan rakyat dan negara, bukannya kerana kesalahan atau kemarahan terhadap mana-mana pihak.

“Saya pilih kestabilan, kemakmuran rakyat. Saya pilih kerjasama terus BN dan UMNO.

“Pilihan mereka biarlah mereka jawab,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan mengenai masa depan kerjasama politik dengan UMNO dan BN perlu dibuat secara waras, penuh hikmah serta kebijaksanaan.

Katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga tidak akan berlaku tanpa kesedaran mengenai pentingnya kestabilan politik dan kecintaan terhadap negara.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh hubungan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sangat baik sehingga membolehkan sebarang perbezaan pandangan dibincangkan secara bersahabat.

“Hubungan peribadi dengan (Ahmad) Zahid terlalu baik. Boleh runding secara sahabat,” ujarnya.

Anwar berkata, setakat ini beliau belum pernah berdepan pandangan yang benar-benar bertentangan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Di peringkat negeri, hanya Allah mengetahui,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast