PUTRAJAYA – DAP perlu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan kerana parti itu masih mempunyai kira-kira 18 bulan untuk melaksanakan reformasi dan memperjuangkan kepentingan rakyat, kata perwakilan Negeri Sembilan, S Mugunthan.
Beliau berkata, keputusan untuk kekal dalam kerajaan bukan bermaksud DAP mengetepikan prinsip perjuangan, sebaliknya memberikan parti ruang serta akses kepada kuasa pentadbiran, peruntukan dan jentera kementerian untuk membawa perubahan yang dituntut rakyat.
Katanya, rakyat memberikan mandat kepada DAP dan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara, bukannya sekadar menjadi pembangkang.
“Kalau kita keluar daripada kerajaan, harapan rakyat untuk kita melakukan reformasi akan menjadi sia-sia,” katanya ketika membahaskan usul sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, keperluan rakyat bukan hanya berkaitan reformasi institusi, tetapi turut melibatkan perkara asas seperti infrastruktur, pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan keselamatan.
Beliau berkata, semua perkara itu memerlukan wakil rakyat berada dalam kerajaan supaya mempunyai akses kepada proses membuat keputusan, peruntukan dan jentera kementerian.
Mugunthan berkata, DAP tidak seharusnya berundur hanya kerana berdepan kritikan bahawa kerajaan masih belum memenuhi semua janji reformasi.
Sebaliknya, kata beliau, masih terdapat kira-kira setahun setengah untuk kerajaan memperbaiki kelemahan dan melaksanakan lebih banyak pembaharuan sebelum rakyat kembali membuat penilaian dalam pilihan raya.
Beliau turut menolak dakwaan tiada perubahan berlaku sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran, dengan menyentuh beberapa perkembangan berkaitan pelaburan, peluang pekerjaan dan bantuan kepada rakyat.
Menurutnya, Negeri Sembilan sendiri menyaksikan pelaburan bernilai kira-kira RM2 bilion yang dijangka mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan.
Pada masa sama, Mugunthan mengingatkan pengunduran DAP daripada kerajaan boleh membuka ruang lebih besar kepada politik kebencian dan perpecahan.
Katanya, parti itu perlu menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk memperjuangkan agenda pembaikan, bukannya meninggalkan pentadbiran ketika masih mempunyai ruang untuk melakukan perubahan.
Beliau turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan tempoh kira-kira 18 bulan akan datang untuk mempercepatkan pelaksanaan janji reformasi kepada rakyat.
“Ini bukan soal kita melupakan prinsip. Kekal dalam kerajaan membuka ruang lebih besar untuk kita memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata keputusan DAP untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan perlu disertai keberanian untuk terus menekan kerajaan supaya memenuhi tuntutan reformasi dan keperluan rakyat. – MalaysiaGazette















