KLUANG – Seorang pemuda maut manakala teman wanitanya yang berusia 16 tahun cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan Kluang di sini, hari ini.
Kemalangan tersebut mengorbankan Chye Jia Chen yang berusia 21 tahun yang merupakan pekerja swasta.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut yang berlaku pukul 5.30 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y16ZR dinaiki pasangan itu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa motosikal berkenaan yang ditunggang lelaki berkenaan bersama-sama rakannya seorang wanita tempatan berusia 16 tahun dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke bandar Kluang.
“Semasa tiba di tempat kejadian motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian muka, dada dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, teman wanitanya yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dengan ambulans.
Tambahnya, mangsa masih menerima rawatan di zon kuning wad kecemasan HEBHK dan kes bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222; hotline 07-7766822; direct line 07-7784256 atau tablet DCC 014-365682. – MalaysiaGazette
















