Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada media pada majlis Hi Tea RTD Peace & Harmony di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) meminta kerajaan memberikan penjelasan sama ada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) benar-benar akan dimansuhkan sepenuhnya atau sekadar dipinda.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kekeliruan timbul apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bercakap mengenai kerangka perundangan yang akan menggantikan akta itu, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebaliknya.

“Saya difahamkan ada perbezaan pandangan. Mungkin mereka bercakap dalam bahasa yang sama tetapi konteks yang berbeza.

“Menteri Pendidikan Tinggi cakap pasal pindaan AUKU, tetapi yang disebut perdana menteri cakap pemansuhan. Jadi kita nak penjelasan sama ada pemansuhan atau pindaan?” katanya.

Jelasnya, libat urus perlu dilaksanakan dengan pihak universiti dan ahli Parlimen, bukan sahaja bagi memberikan penjelasan, malah menentukan garis panduan untuk membimbing mahasiswa di negara ini.

“Barulah kita cari titik pertemuan untuk memastikan kalau mansuh, bagaimana kita nak urus mahasiswa yang ada, yang bagi saya tidak sama dengan mahasiswa di luar negara.

“Saya betul-betul mahu tahu sama ada dipinda atau mansuh. Kalau mansuh bagaimana kita mahu uruskan mahasiswa-mahasiswa dalam negara yang bagi saya perlu bukan pemantauan tetapi bimbingan,” katanya lagi.

Anwar Ibrahim yang berucap pada Kongres PKR hari ini mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU sepenuhnya tanpa menggantikannya dengan undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.

Dalam pada itu, Zambry semalam dilaporkan berkata, kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast