Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – DAP mahu pelaksanaan sistem e-Invois dikaji semula bagi mengelakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibebani kos serta prosedur tambahan.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, perkara itu antara suara yang dibawa akar umbi parti dan perlu dibincangkan bersama kerajaan.

Menurutnya, cadangan berkenaan bukan perkara baharu bagi DAP, malah turut mendapat perhatian pimpinan kerajaan termasuk Presiden UMNO yang pernah membawa isu berkenaan ke Kabinet.

“Kita dengar daripada suara akar umbi kita meminta supaya pelaksanaan e-Invois ini dapat meningkatkan threshold supaya tidak dilaksanakan untuk SME, untuk perusahaan mikro dan kecil,” katanya pada sidang media selepas Persidangan DAP 2026 di sini, hari ini.

Anthony berkata, perkara tersebut perlu dilihat dari sudut kos sara hidup dan keadaan semasa perniagaan kecil yang masih berdepan pelbagai tekanan.

“DAP akan membawa pandangan berkenaan melalui saluran kerajaan selepas mendapat mandat daripada perwakilan untuk terus berada dalam kerajaan,” katanya.

Selain e-Invois, katanya, isu kuota subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak turut antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Begitu juga ada banyak permintaan supaya melihat kembali kepada kuota RON95 dan kuota diesel khususnya untuk Sabah Sarawak.

“Semua ini adalah perkara yang mendesak kehidupan rakyat, mendesak kos sara hidup,” katanya.

Anthony menegaskan DAP akan terus menyuarakan isu tersebut dalam kerajaan secara konstruktif.

“Keputusan perwakilan mengekalkan DAP dalam kerajaan memberikan ruang kepada parti untuk terus membawa suara rakyat dan memastikan isu kos sara hidup diberikan perhatian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast