KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menegaskan, kesalahan individu dalam isu Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan bangsa Melayu secara keseluruhan.
Beliau berkata, perbuatan mencuri bukan soal bangsa kerana setiap kaum mempunyai individu yang baik dan ada juga yang melakukan kesalahan.
“Kalau ada yang mencuri, tangkap, siasat, dakwa dan bawa ke mahkamah. Biar undang-undang menentukan siapa yang bersalah.
“Kesalahan dalam Tabung Haji, jika yang mencuri itu Melayu, tidak adil untuk terus menyalahkan bangsa Melayu secara keseluruhan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Akmal yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, perkara sama turut berlaku dalam isu korporat, mafia dan terowong apabila individu daripada bangsa lain pernah didakwa terlibat dalam pelbagai kes.
“Adakah kita mahu menyalahkan seluruh bangsa mereka? Jangan kerana kesalahan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan,” ujarnya.
Akmal berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengira latar belakang kaum.
Lebih-lebih lagi, katanya, kerajaan mempunyai kuasa, agensi dan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan jenayah.
“Jangan sudah jadi kerajaan tetapi masih bercakap macam pembangkang, pandai menuding jari tetapi gagal mengambil tindakan.
“Jangan kerana pelaku itu Melayu, kamu hina Melayu secara keseluruhan, tetapi jika pelaku itu daripada bangsa lain, kamu diam menikus,” katanya.
Beliau menegaskan, penjenayah mungkin mempunyai bangsa, namun jenayah itu sendiri tidak mengenal bangsa.
“Dalam setiap bangsa ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan. Yang bersalah perlu dihukum berdasarkan undang-undang, bukan kerana bangsa mereka,” katanya di laman sosial itu tanpa merujuk kepada mana-mana individu.
Hantaran Dr Akmal itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan di Dewan Rakyat pada Selasa lepas yang secara sinis menyentuh isu salah laku dan penyelewengan membabitkan orang Melayu Islam, pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Tingkah Mohd Sany itu telah menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menggesa agar beliau menarik balik secara keseluruhan kenyataannya itu.
TindakanMohd Sany yang berdalih ketika diminta berbuat demikian telah membangkitkan kemarahan Mohd Ramli yang hampir mengarahkannya supaya keluar dewan.
Namun, setelah diasak oleh Ramli akhirnya Mohd Sany akur untuk menarik kenyataannya itu, tetapi tetap mengatakan hanya segelintir orang Melayu yang bersikap demikian.
Sebelum itu, Mohd Sany mencelah ketika Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang mengambil bahagian dalam perbahasan dengan mempersoalkan sama ada tindakan mengambil atau menyalahgunakan wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah jika dilakukan individu Melayu beragama Islam.
“Yang Berhormat Gombak (Amirudin) jadi masalah kenapa, tak mengapa jika nak curi, rompak atau sakau yang penting yang mengambil duit itu orang Melayu. Tak mengapa ambillah, curilah lagi yang penting Melayu dan Islam sebab dalam negara kita ini, Melayu saja yang boleh rompak, curi, sakau dan mentekedarah duit rakyat, janji Islam Melayu tak ada masalah.
“Yang tak boleh, Cina dan India,” kata Mohd Sany. – MalaysiaGazette
















