Ebit Lew (empat dari kiri) bersama-sama pasukan peguam diketuai Datuk Akberdin Abdul Kader (tiga dari kiri) selepas keputusan kes saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam. 17 OGOS 2026

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan penyanyi rap, Caprice memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada Ebit Lew selepas didapati memfitnah penceramah bebas itu tiga tahun lalu.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, diarah membuat permohonan maaf dan memadamkan tujuh kenyataan yang dibuatnya bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo dalam masa 48 jam.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor juga memutuskan, penyanyi lagu ‘Lenglui’ itu tidak boleh mengeluarkan komen atau membuat kenyataan mengenai Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang.

Dalam prosiding sama, mahkamah menolak tuntutan balas Caprice dengan alasan ia tidak berasas.

Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader sementara Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal hadir bagi pihak Caprice.

Sementara itu, Ebit menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook mengucapkan kesyukuran di atas kemenangan tersebut.

“Alhamdulillah syukur pada ALLAH, saya menang saman terhadap Caprice. Beliau diperintah memohon maaf atas fitnah dan membayar keseluruhan RM220,000,” katanya.

Pada 15 September 2023, Caprice yang juga aktivis kemanusiaan dipercayai memuat naik rakaman video yang mana wanita berkenaan dijadikan sebagai tetamu jemputan.

Plaintif mendakwa, rakaman itu antara lain membawa maksud Ebit melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.

Katanya, banyak komen negatif, cacian dan makian didakwa dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice akibat penerbitan video itu.

Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Caprice dan Mondy yang menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.

Pada 29 September tahun sama, polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast