Ahmad Maslan.

BUTTERWORTH – Dakwaan UMNO ‘tikam belakang’ tidak berasas kerana langkah strategik yang diambil parti bertujuan memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, UMNO tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, berbeza dengan di peringkat Pusat yang menyaksikan kedua-dua pihak mempunyai perjanjian.

“Di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, kita tidak ada perjanjian dengan PH. Jadi, pihak PH hendaklah memahami perkara itu.

“Perjanjian kita yang penting di Pusat dan kita mematuhi perjanjian itu.

“Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berulang kali menyatakan kita akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir mandat kerana kita sudah menandatangani perjanjian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan UMNO ‘tikam belakang’ selain Kongres PKR dan DAP dijadikan medan untuk mengkritik UMNO.

Ahmad berkata, ketiadaan perjanjian di peringkat negeri membolehkan UMNO mengambil langkah strategik bagi memaksimumkan peluang kemenangan tanpa melanggar perjanjian yang dipersetujui di peringkat Pusat.

“Jadi, tidak ada sebarang tuduhan konspirasi dan sebagainya. Apabila kita ingin menang langkah strategik diambil dan ia tidak melanggar sebarang perjanjian di negeri.

“Pihak negeri berhak untuk memaksimumkan kemenangan dan memastikan kemenangan,” katanya.

Beliau berkata, strategi berkenaan penting khususnya dalam menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru yang boleh menyebabkan UMNO-BN tewas jika undi Melayu berpecah.

“Langkah strategik ini tidak boleh disebut tikam belakang. Kita mengambil langkah strategik untuk survival parti. Mereka juga membuat langkah strategik untuk survival parti.

“Contohnya DAP mengadakan pengundian di kongres sebagai langkah strategik bagi mendapatkan mandat ahli berhubung kedudukan parti dalam kerajaan.

“Walaupun hanya sebahagian perwakilan hadir dan kira-kira 80 peratus daripada yang hadir bersetuju untuk kekal dalam kerajaan, tindakan itu juga boleh dilihat sebagai langkah strategik DAP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast