Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir pada prosiding perbicaraan kes atas tiga pertuduhan bersubahat memperoleh rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 Mac 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad daripada tiga tuduhan bersubahat dalam kes rasuah RM2.8 juta melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Salah seorang peguam mewakili Zizie Izette, Ridha Abdah Subri memberitahu pihak media hari ini, notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Julai lalu.

Notis rayuan difailkan selepas Pendakwa Raya tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad pada 20 Julai lalu yang melepas dan membebaskan Zizie Izette di akhir kes pembelaan.

Peguam Ridha Abdah Subri

Zizie Izette selaku responden dibebaskan daripada tiga tuduhan pindaan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sehubungan itu Pendakwa Raya memohon di bawah Seksyen 307(5) Kanun Prosedur Jenayah (CPC), salinan nota keterangan dan alasan penghakiman Mahkamah Sesyen.

Rosli membebaskan Zizie Izette yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rosli dalam penghakimannya, Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu dan atas permohonan pendakwaan, mahkamah memberikan perintah pelepasan dan pembebasan selaras Seksyen 254 CPC.

Beliau berkata, akibat perintah pelepasan dan pembebasan, Allahyarham dianggap seorang yang tidak bersalah kerana tiada dapatan salah direkodkan terhadapnya.

Menurut Rosli, ia menyebabkan elemen pembuktian kesalahan subahat terhadap tertuduh (Zizie Izette) dan suaminya telah melakukan kesalahan rasuah, telah terjejas.

Zizie Izette didakwa dengan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah agensi itu.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast