Shuhaily dan Anthony Loke melakukan lawatan kerja serta meninjau perkembangan projek Kompleks ICQ Bukit Chagar, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 640 anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan bertugas di Kompleks Bersepadu Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Cagar di sini apabila beroperasi tahun depan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah itu melibatkan pegawai dan anggota dengan penempatan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Beliau memberitahu, bermula Oktober ini 400 pelatih yang menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada penghujung September akan ditempatkan.

“Pegawai dan anggota berkenaan akan menjalani program suai kenal serta simulasi di ICQ Bukit Cagar sepanjang Oktober hingga Disember.

“Dalam tempoh tiga bulan itu, kita akan melihat aliran penumpang, membuat simulasi dan membiasakan anggota dengan sistem serta bangunan ini.

“Kita juga akan menguji kekerapan dan konsistensi perkhidmatan kereta api termasuk kestabilan mesin seperti mesin pengimbas dan sistem berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melakukan lawatan kerja dan meninjau perkembangan Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar di sini hari ini.

Anthony Loke dan Datuk Shuhaily merasmikan pejabat AKPS di Kompleks ICQ Bukit Cagar, Johor Bahru, hari ini

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Terdahulu Anthony Loke merasmikan pejabat AKPS di Kompleks ICQ Bukit Cagar.

Mengulas lanjut, Shuhaili berkata, AKPS kini mempunyai lebih 400 anggota yang sedang menjalani latihan daripada jumlah keseluruhan 640 jawatan yang diluluskan bagi agensi berkenaan.

Katanya, latihan anggota AKPS perlu lebih menyeluruh berikutan agensi itu menggabungkan fungsi enam agensi penguatkuasaan di bawah satu entiti.

“Dulu enam agensi menjalankan enam perkara yang berbeza, tetapi sekarang semuanya berada di bawah satu agensi. Jadi latihan yang perlu kita buat sepatutnya lebih ekstensif.

Mohd Shuhaily memaklumkan 640 anggota AKPSnakan bertugas di Kompleks ICQ Bukit Cagar, Johor Bahru nanti

“Disiplin juga merupakan perkara yang sangat penting kerana misi adalah misi dan disiplin perlu diterapkan,” katanya.

Menurutnya, kemudahan ICQ Bukit Cagar merupakan fasiliti baharu yang menggabungkan enam agensi di bawah satu hab bagi melancarkan urusan kawalan sempadan.

Dalam pada itu, Shuhaili berkata, AKPS turut mempunyai pelan sandaran sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem digital yang digunakan di fasiliti berkenaan.

Katanya, sistem manual akan digunakan sekiranya berlaku kegagalan sistem bagi memastikan operasi kawalan sempadan dapat diteruskan.

    Sebanyak 100 laluan ‘e-gate’ di kompleks ICQ disediakan untuk menyokong pelepasan imigresen menggunakan kod QR atau pasport.

“Sistem biasanya bagus tetapi Murphy’s Law sentiasa ada. Kalau sistem tergendala, kita kembali kepada sistem manual.

“Sebab itu kita perlukan tenaga manusia. Manpower sentiasa diperlukan untuk mengurangkan risiko dalam keadaan sebegitu,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast