PATI yang ditahan dalam Ops Kutip di sekitar Pasar Pudu. Gambar arkib

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti jumlah sebenar individu yang dikategorikan sebagai pelarian dan kini ditempatkan di depot imigresen.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka yang dikenal pasti akan ditemu bual oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum status masing-masing dimuktamadkan jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Awang Alik Jeman.

“Siasatan itu menentukan apakah benar-benar mereka merupakan pelarian atau mereka adalah individu yang ada kes lain dan sebagainya? Ataupun mereka merupakan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti salah guna pas, tinggal lebih masa, masuk tanpa dokumen dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi laporan perkembangan terkini mengenai proses berkenaan kepada Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Jawatankuasa Kabinet mengenai Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Menurut Saifuddin, KDN diarahkan memuktamadkan jumlah individu yang berjaya diproses dan dikenal pasti statusnya dengan tepat menjelang hujung tahun ini sebagai projek rintis, sebelum kerajaan menilai kebolehlaksanaan pendekatan itu terhadap kelompok pelarian di luar depot yang jumlahnya jauh lebih besar.

Mengulas mengenai kira-kira 15,000 pelarian Myanmar yang akan dihantar pulang, beliau berkata, angka itu merangkumi semua 19 etnik dari Myanmar termasuk etnik Rohingya.

“Myanmar ada 19 etnik. Ha.. Rohingya tu satu daripadanya. Dia ada 19 etnik. Semua ada kat sini. Jadinya Rohingya tu termasuk dalam satu daripada 19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast