KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh direman selepas dipercayai mencabul seorang wanita ketika berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Setiawangsa, pada 21 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, suspek berusia 43 tahun direman empat hari sehingga 25 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu mangsa berumur 25 tahun yang menaiki tren dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Stesen Pasar Seni menyedari kehadiran seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai mencabul mangsa dengan cara menggesel kemaluannya di belakang wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, suspek ditahan Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni sekitar jam 11.30 pagi hari sama sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















