Wakil-wakil penduduk di tiga kawasan perumahan hadir membuat bantahan berikutan pelan cadangan pembangunan pusat penjaja dua tingkat berserta tempat parkir kenderaan di hadapan Medan Selera Bandar Tasik Selatan yang didakwa telah dilanggar perjanjiannya oleh DBKL di Sekitar Jalan Tasik Selatan 21, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Penduduk di beberapa kawasan perumahan di Bandar Tasik Selatan mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mungkir janji apabila kemudahan parkir lima tingkat yang dijanjikan sebelum hanya dibina setingkat.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan penduduk kerana  kawasan berkenaan kini mempunyai kira-kira 6,500 hingga 7,000 kediaman, manakala terdapat  tambahan 8,000 unit kediaman yang sedang dibina di tempat itu,  bakal meningkatkan lagi kesesakan dan masalah parkir.

Wakil penghuni rumah kos rendah, Mohammad Firdaus Babah, 39, berkata, jumlah keseluruhan kediaman boleh mencecah kira-kira 14,000 unit dengan anggaran puluhan ribu kenderaan, sedangkan infrastruktur jalan sedia ada tidak mampu menampung pertambahan trafik.

“DBKL sebelum ini maklumkan mahu bina parkir lima tingkat, malah perkara itu mempunyai hitam putih. Namun, apabila projek dilaksanakan, papan tanda menunjukkan hanya satu tingkat parkir sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Firdaus Babh.

Mohammad Firdaus berkata, penduduk sudah mengadakan lebih lima pertemuan dengan pihak DBKL sebelum ini serta menghantar surat memohon dialog, termasuk surat terakhir pada Mei lalu, namun mendakwa belum menerima maklum balas.

“Kami tidak menghalang pembangunan, tetapi ia mesti disokong infrastruktur yang mencukupi. Kami mendesak DBKL turun berdialog dengan penduduk dan menjelaskan perancangan sebenar,” ujarnya.

Tambahnya, penduduk menggesa DBKL menghentikan sementara pembangunan tambahan di kawasan berkenaan serta mengembalikan perancangan kemudahan parkir kepada lima tingkat seperti yang didakwa dijanjikan sebelum ini.

Pesara tentera, Khalili Sabhy, 64, berkata, masalah kekurangan parkir semakin meruncing di kawasan kediaman anggota tentera yang baharu di bina di situ apabila setiap rumah hanya diperuntukkan satu petak parkir menyebabkan kenderaan terpaksa diletakkan di luar kawasan dan berdepan tindakan penguatkuasaan.

Katanya, masalah itu semakin ketara walaupun kawasan perumahan berkenaan masih baharu dan hanya sekitar 40 peratus yang sudah didiami.

Menurutnya, jumlah satu petak parkir bagi setiap rumah tidak mencukupi terutama bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada sebuah kereta atau motosikal.

“Parkir kereta satu orang, satu rumah, satu anggota. Tapi parkir tidak mencukupi. Banyak yang parkir kenderaan masing-masing di luar dan kena saman.

“Satu parkir tidak mencukupi, jadi kami terpaksa parkir merata-rata. Kereta yang tidak ada pelekat pun menghadapi masalah, begitu juga motosikal,” katanya.

Khalili Sabhy.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih serius apabila kadar penghuni meningkat kerana masalah parkir kini sudah mula mencetuskan pertikaian sesama penduduk.

“Baru 40 peratus pun sudah tenat. Bergaduh-gaduh kerana parking, masalah.

“Kalau salah parking, kereta kena clamp dan dikenakan bayaran RM200, manakala motosikal RM100,” katanya.

Khalili turut mempersoalkan perancangan penyediaan parkir ketika pembangunan kawasan perumahan tentera berkenaan dirancang, memandangkan isu tersebut sudah timbul walaupun kediaman itu masih belum didiami sepenuhnya.

Katanya, masalah itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk apabila lebih ramai anggota tentera dan keluarga berpindah masuk ke kawasan berkenaan.

“Kalau baru 40 peratus sudah ada masalah, bagaimana apabila semuanya sudah penuh? Perancangan parkir sepatutnya dibuat dari awal,” katanya.

Wakil-wakil penduduk di tiga kawasan perumahan hadir membuat bantahan berikutan pelan cadangan pembangunan pusat penjaja dua tingkat berserta tempat parkir kenderaan di hadapan Medan Selera Bandar Tasik Selatan yang didakwa telah dilanggar perjanjiannya oleh DBKL di Sekitar Jalan Tasik Selatan 21, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2026.

Sementara itu, Pengerusi Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, Mohd Raimi M. Natni pula berkata, masalah parkir di kawasan berkenaan ketika ini sudah berada pada tahap membimbangkan, khususnya pada waktu malam dan awal pagi.

Menurutnya, kawasan parkir sedia ada sudah digunakan sepenuhnya, malah penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan apabila pulang lewat malam.

“Sekarang parkir di dalam pun sudah penuh. Segala tanah yang ada sudah kita besarkan dan lebarkan untuk dijadikan kawasan parkir.

“Bila projek perumahan tentera itu siap, penduduk yang diberikan satu rumah, satu parkir itu juga akan memerlukan ruang tambahan, terutama bagi mereka yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan,” tambah beliau.

Penduduk, Mohamad Firdaus Babh, 39, bercakap pada media berikutan pelan cadangan pembangunan pusat penjaja dua tingkat berserta tempat parkir kenderaan di hadapan Medan Selera Bandar Tasik Selatan yang didakwa telah dilanggar perjanjiannya oleh DBKL di Sekitar Jalan Tasik Selatan 21, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2026.

Beliau berkata, penduduk difahamkan projek berkenaan hanya menyediakan lebih 200 petak parkir tambahan untuk pelawat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada jumlah itu mencukupi untuk menampung keperluan keseluruhan kawasan.

“Kalau semua 6,500 unit itu didiami sepenuhnya, kami bimbang kenderaan akan melimpah sehingga ke MRR2 dan menyebabkan kesesakan sepanjang Jalan 21 dan Jalan 30,” katanya.

Tambah beliau, penduduk tidak menolak pembangunan, sebaliknya mahukan penyelesaian yang munasabah terhadap isu parkir dan kesesakan yang dijangka berlaku.

Beliau berkata, dalam perbincangan rasmi pertama bersama pihak berkuasa pada 27 November 2023, ketika projek perumahan tentera itu baru sekitar 20 hingga 30 peratus siap, penduduk telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesan pembangunan tersebut.

Katanya, ketika itu pihak pemaju mengemukakan beberapa cadangan termasuk pelebaran jalan dan pembinaan parkir bertingkat sehingga tujuh tingkat di kawasan medan selera lama.

Mohd Raimi M Natni.

“Cadangan itu kami terima kerana ia munasabah dan kami melihat ada penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas.

“Namun, apabila kami melihat papan tanda di kawasan berkenaan sekarang, ia menunjukkan hanya satu tingkat untuk food court dan satu tingkat untuk parkir.

“Kalau begitu, selepas food court siap, masalah parkir dan kesesakan tidak akan selesai. Malah, ia mungkin menjadi bottleneck sehingga ke arah MRR2,” katanya.

Beliau berkata, penduduk berasa kecewa kerana cadangan asal yang memberi harapan kepada mereka untuk mendapatkan penyelesaian masalah parkir kini dilihat berubah.

Sehubungan itu, Mohd Raimi berharap pihak berkuasa tempatan dan pemaju mengadakan dialog semula bersama penduduk bagi mencari penyelesaian terhadap isu parkir serta kesesakan yang dijangka bertambah pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here