KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Seri Zizie Izette tampil berkongsi sikap allahyarham suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disifatkan sebagai seorang yang tidak pernah menyimpan dendam.
Zizie atau Zizie Izette Abdul Samad, 47, berkata, allahyarham suaminya yang juga bekas Ahli Parlimen Kinabatangan juga tidak pernah mengambil hati dengan apa yang diperkatakan orang terhadap dirinya.
Kata ibu tunggal lima anak itu, suaminya tetap memilih untuk berbuat baik dan memaafkan mereka yang pernah melakukan perkara buruk terhadapnya.
“Dia (suami) tidak pernah simpan dendam atau ambil hati dengan apa orang kata tentang dia. Malah dengan orang yang pernah buat macam-macam dekat dia pun, dia tetap berbaik dan memaafkan.
“Kalau orang itu perlukan pertolongan, dia tetap tolong. Entah kenapa semalam cerita itu betul-betul buat saya tersentuh hati dan teringat arwah dan sisi dirinya yang mungkin ramai orang tak sempat kenal,” katanya yang berkongsi perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya hari ini.

Sementara itu, Zizie terkenang kepada allahyarham ketika menghadiri sebuah program agama apabila penceramah berkongsi kisah mengenai sifat Rasulullah SAW yang tetap sabar dan memilih untuk memaafkan walaupun dihina
serta dicaci.
“Teringat arwah suami. Sudah tentu memang tak bolehlah nak bandingkan dengan Rasulullah SAW tapi begitulah sifat arwah yang mungkin ramai orang tak tahu,” ujarnya.
Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar pada 2009 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata serta turut membesarkan dua anak angkat.
Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru. – MalaysiaGazette
















