Antara individu yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di tiga lokasi sekitar Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - Foto JIM

SEREMBAN – Sebanyak 57 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi membanteras kegiatan tidak bermoral di tiga lokasi sekitar Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Operasi bermula kira-kira 2 petang itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur.

JIM dalam kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan susulan maklumat KBRI berkaitan penglibatan warga Indonesia dalam aktiviti tidak bermoral selain hasil risikan pihaknya.

Hasil operasi, tujuh lelaki warga tempatan, tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar ditahan.

Turut ditahan 26 wanita Indonesia, lima wanita Bangladesh dan seorang wanita India dengan keseluruhan yang ditahan berusia antara 19 hingga 65 tahun.

Pemeriksaan di premis turut membawa kepada penyitaan beberapa pasport milik warga Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit, kunci premis serta kondom.

Antara individu yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di tiga lokasi sekitar Seremban, Negeri Sembilan, semalam. – Foto JIM

Siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan dengan menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau bagi tempoh antara seminggu hingga sebulan.

Premis berkenaan dipercayai diurus dan dikawal warga tempatan serta warga asing yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis.

Wanita warga asing terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks pada kadar RM50 bagi setiap perkhidmatan kepada pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan asing.

Kegiatan itu dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun dengan struktur pengurusan yang tersusun dan dianggarkan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun.

Tujuh warga tempatan yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, warga asing terbabit ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut, manakala JIM menegaskan tindakan tegas akan diteruskan terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here