PHNOM PENH – Meskipun bertanding sebagai pasukan kelab, skuad bola tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetap mengharumkan nama Malaysia apabila muncul naib juara Piala Samdech Thipadei di Kemboja.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Shaharuddin Onn memuji pencapaian pasukan MBSA ketika sarapan khas yang dianjurkan Kedutaan Malaysia pada Isnin bagi menghargai kejayaan serta sumbangan mereka terhadap imej sukan negara.

“Kami bangga dengan pencapaian anda. Anda datang ke sini sebagai pasukan kelab, tetapi mewakili Malaysia dengan penuh bangga dan mengangkat imej negara menerusi prestasi serta semangat kesukanan yang dipamerkan,” kata beliau.

Piala Samdech Thipadei yang berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos disertai empat pasukan, iaitu Cambodia A yang merupakan skuad senior kebangsaan Kemboja, Cambodia B yang diwakili skuad remaja kebangsaan, MBSA dan Dong Nai City dari Vietnam.

MBSA mara ke final sebelum tewas 0-3 kepada tuan rumah Cambodia A di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh pada Ahad.

Pasukan Malaysia menerima hadiah wang tunai US$5,000 (RM20,000).

MBSA turut muncul naib juara kepada Kemboja pada edisi sulung kejohanan berkenaan pada 2024.

“Memang sukar, tetapi secara keseluruhan kami beraksi dengan baik. Kami mungkin mampu melakukan lebih baik jika mempunyai lebih banyak masa untuk berlatih.

“Bola tampar memerlukan tindak balas pantas, selain persefahaman dan koordinasi yang baik antara pemain,” kata Pengurus Pasukan MBSA Hanif Basree Abdul Rahman kepada Bernama pada majlis berkenaan.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here