KULAI – Polis menahan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular menutup jalan dan menahan kenderaan untuk berlumba di Lebuhraya Linkedua di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tiga suspek berkenaan ditahan di Kuala Lumpur.
“Kita telah membuat tangkapan susulan terhadap tiga lelaki di Kuala Lumpur disyaki terbabit dalam kes video tular membabitkan kegiatan lumba haram yang berlaku pada 22 Ogos lalu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semua tiga tangkapan itu akan dibawa ke Mahkamah Kulai di sini, bagi proses permohonan reman untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan polis, pada pukul 11.54 pagi.
Kelmarin, semua tangkapan termasuk seorang pempengaruh permotoran direman empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membolehkan siasatan lanjut.
Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian itu dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman turut memaparkan beberapa individu ‘menutup’ jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan.
Suspek turut membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan selain beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan dilihat berada pada bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir. – MalaysiaGazette
















