MELAKA – Seorang pesara tentera didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menampar seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, dua minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Abdullah, 63, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dan fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun di tepi Jalan TM35, Taman Tanjung Minyak, Melaka Tengah, kira-kira jam 5.15 petang 11 Ogos 2026.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu mangsa ketika kejadian sedang mengejar ayam di tepi Jalan TM35 sebelum didatangi tertuduh yang bertanyakan adakah mangsa mencuri ayam miliknya.
Mangsa menafikan tuduhan itu menyebabkan tertuduh menampar pipi kanannya sebanyak dua kali sebelum remaja itu mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan membuat laporan polis.
Hasil pemeriksaan pegawai Perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian pipi kanan.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), JC Goh merayu supaya tertuduh dikenakan hukuman denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pesara tentera.
Tertuduh juga perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga orang anak.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette
















