KUALA LUMPUR – Pemberian klasifikasi umur kepada sesebuah filem tidak bermakna karya berkenaan dikecualikan daripada proses tapisan, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian itu berkata, klasifikasi dan penapisan merupakan dua proses berbeza namun saling melengkapi di bawah Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620].

Jelasnya, klasifikasi menentukan kesesuaian kandungan berdasarkan kategori umur penonton, manakala penapisan menilai kandungan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Setiap filem tetap melalui proses tapisan dan penilaian oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Namun, sesuatu kandungan tidak semestinya memerlukan pemotongan sekiranya hasil penilaian mendapati kandungan tersebut masih sesuai dikekalkan di bawah klasifikasi umur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KDN, penilaian dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira adegan, dialog, audio, tema, perlakuan dan konteks penceritaan bagi memberi ruang kepada kreativiti berkembang tanpa mengetepikan tanggungjawab LPF dalam menjaga kepentingan awam.

Walau bagaimanapun, katanya, ruang yang diberikan melalui klasifikasi umur tidak mengetepikan tanggungjawab LPF untuk memastikan setiap kandungan mematuhi undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Sekiranya sesuatu kandungan didapati tidak memenuhi ketetapan tersebut, LPF akan mempertimbangkan tindakan atau penyesuaian yang bersesuaian berdasarkan konteks dan tahap risikonya.

“Kandungan yang tidak dapat disesuaikan bagi memenuhi ketetapan yang ditetapkan tidak akan diluluskan untuk tayangan,” katanya.

Dalam pada itu, KDN berkata, LPF terus memperkemas pendekatan penapisan supaya lebih progresif, responsif, profesional dan bersesuaian dengan perkembangan industri.

Katanya, penilaian dilaksanakan berdasarkan kandungan, konteks dan risiko supaya kawal selia dapat dibuat secara lebih bersasar, konsisten dan seimbang.

KDN berkata, kepentingan awam dan negara kekal menjadi pertimbangan utama, termasuk kandungan yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, moral serta sosiobudaya masyarakat.

Ujarnya, LPF turut mengambil kira kepentingan nasional dan sensitiviti hubungan antarabangsa sekiranya sesuatu kandungan berpotensi memberi kesan terhadap imej negara, keharmonian masyarakat atau hubungan Malaysia dengan negara lain.

Tambahnya, KDN bersama LPF akan terus mendukung perkembangan industri perfileman negara dengan menyediakan ruang lebih luas kepada penggiat seni untuk menghasilkan karya kreatif, segar, kritis dan berkualiti.

“Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk memelihara keselamatan, ketenteraman awam, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara akan terus dilaksanakan secara tegas dan profesional,” katanya.

Terdahulu, KDN menerusi LPF menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar industri perfileman negara diberikan ruang lebih terbuka untuk berkarya, bereksperimen, menyampaikan pandangan serta mengembangkan pemikiran kreatif dan kritis.

KDN menyifatkan aspirasi itu selari dengan usaha memperkasa industri perfileman Malaysia supaya terus berkembang, inovatif, kompetitif dan relevan dengan perubahan masyarakat serta perkembangan teknologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here