KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menangani tekanan kos sara hidup, perumahan dan penjagaan anak yang menjadi antara faktor utama golongan dewasa muda semakin sukar membuat keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak, bukannya hanya menambah bilangan penjaga profesional.
Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengenai usaha melatih lebih ramai penjaga profesional sebagai sebahagian langkah menangani penurunan kadar kesuburan negara.
Namun katanya, isu berkenaan tidak boleh diselesaikan hanya dengan meningkatkan jumlah penjaga yang berkualiti.
“Dewasa muda yang bekerja semakin berdepan keputusan sukar mengenai perkahwinan dan mempunyai anak apabila perlu mengambil kira kemampuan memiliki rumah, kos penjagaan anak, ketidakstabilan pendapatan, tuntutan pekerjaan serta peningkatan keseluruhan kos membesarkan keluarga.
“Kadar kenaikan gaji tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup, manakala akses kepada pusat penjagaan yang berkualiti pula memerlukan perbelanjaan bulanan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wendy, menambah bilangan pusat jagaan semata-mata tidak mencukupi kerana ibu bapa hanya akan menggunakan kemudahan itu sekiranya yakin anak mereka berada dalam jagaan yang selamat dan berkualiti.
Katanya, aspek latihan dan kompetensi pengasuh, saringan latar belakang, nisbah pengasuh kepada kanak-kanak, pematuhan standard keselamatan serta pemantauan berterusan sama penting dengan penyediaan kemudahan fizikal.
Sehubungan itu, Gerakan menggesa kerajaan menyediakan geran bersasar kepada majikan bagi mewujudkan atau memberi subsidi kepada pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di tempat kerja.
“Kerajaan juga perlu membangunkan pusat jagaan bersama di kawasan perindustrian dan hab pekerjaan utama bagi membantu perniagaan yang tidak mampu menyediakan kemudahan sendiri,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, standard profesional dan keselamatan sektor penjagaan kanak-kanak perlu dipertingkatkan dengan memastikan semua pengasuh menerima latihan serta pensijilan sewajarnya, menjalani saringan latar belakang dan mematuhi nisbah pengasuh-kanak-kanak serta standard keselamatan yang ditetapkan.
Gerakan turut mencadangkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama memperkenalkan bantuan penjagaan anak atau pelepasan cukai secara bersasar berdasarkan pendapatan isi rumah, khususnya untuk keluarga muda dan berpendapatan sederhana.
Pada masa sama, katanya, dasar pekerjaan fleksibel dan mesra keluarga perlu diperkukuhkan supaya ibu bapa dapat mengimbangi tanggungjawab pekerjaan dan keluarga tanpa menjejaskan perkembangan kerjaya, terutama wanita yang kembali bekerja selepas melahirkan anak.
“Kerajaan tidak seharusnya melihat penurunan kadar kesuburan sekadar sebagai persoalan sama ada pasangan mahu mempunyai lebih ramai anak.
“Sekiranya kerajaan mahu dewasa muda lebih yakin untuk membina dan membesarkan keluarga, mereka mesti mempunyai kemampuan untuk membiayainya, akses kepada penjagaan yang berkualiti dan keyakinan bahawa anak-anak mereka berada dalam tangan yang selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















