Lapan ditahan Isnin lalu dan direman, manakala tiga lagi direman hari ini selepas diluluskan permohonan di Mahkamah Majistret Kulai, susulan kejadian tular jalan ditutup bagi memberi laluan kepada perlumbaan haram.

KULAI – Tiga lelaki yang ditahan awal pagi tadi bagi membantu siasatan susulan video tular menutup jalan, menahan kereta untuk berlumba motosikal di Lebuhraya Linkedua di sini, direman bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee memberitahu, seorang daripada mereka direman selama empat hari, manakala dua lagi direman sehari.

“Majistret R Salini membenarkan permohonan reman yang dibuat ke atas tiga suspek itu yang ditahan di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

“Seorang direman empat hari sehingga Sabtu ini, manakala dua lagi hanya direman satu hari.

“Perintah reman itu membolehkan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia 24 hingga 41 tahun itu dibuat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan polis pukul 11.54 pagi, Ahad lalu.

Kelmarin, semua tangkapan termasuk seorang pempengaruh permotoran direman empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas mereka.

Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).

Rakaman turut memaparkan beberapa individu ‘menutup’ jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan.

Suspek turut membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan selain beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan dilihat berada pada bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here