GEORGE TOWN – Pengerusi sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan RM10,000 selepas selesai menjalani reman selama seminggu bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dalam penjualan tanah milik kerajaan yang dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.
Lelaki berusia 53 tahun itu dibebaskan kira-kira jam 1 petang hari ini dengan seorang penjamin serta aku janji lisan.
Peguamnya, Shamsher Singh Thind berkata, anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan.
“Anak guam saya memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Beliau bersedia untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan,” katanya di sini.
ARTIKEL BERKAITAN
SPRM sambung reman dua Datuk kes jual tanah bawah harga pasaran
Kes jual tanah 2015: 5 termasuk pengerusi agensi kerajaan direman 4 hari
Pada Isnin lalu, Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid membenarkan lanjutan reman selama tiga hari terhadap lelaki berkenaan dan seorang lagi lelaki bergelar Datuk berusia 40-an yang juga seorang pemaju.
Kedua-dua suspek sebelum itu direman selama empat hari bermula Jumaat lalu.
Tiga lagi individu yang sebelum ini direman termasuk adik lelaki pengerusi berkenaan, adik iparnya serta seorang lagi pemaju telah dibebaskan dengan jaminan.
Siasatan SPRM itu membabitkan dakwaan salah guna kedudukan berkaitan penjualan tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015.
Shamsher sebelum ini berkata, permohonan reman dibuat susulan kebimbangan anak guamnya boleh mengganggu saksi dan dokumen berkaitan siasatan.
“Alasan reman adalah perkara biasa kerana beliau adalah pengerusi, mereka tidak mahu beliau mengganggu saksi lain dan terdapat banyak dokumen,” katanya selepas prosiding Isnin lalu. – MalaysiaGazette
















