KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan rejim Zionis Israel dan rampasan secara paksa Pusat Latihan Kalandia, sebuah fasiliti di bawah naungan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), di Kafr Aqab, Baitulmaqdis Timur pada 25 Ogos 2026.
Wisma Putra berkata, tindakan rejim Zionis ini jelas bertujuan untuk menafikan akses bagi golongan muda Palestin kepada pendidikan dan latihan, yang mencabul hak asasi manusia mereka.
Pusat ini berperanan penting dalam memberikan latihan vokasional kepada beratus-ratus belia Palestin sejak tahun 1952.
“Premis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak boleh dicerobohi, dan hak keistimewaan serta kekebalannya perlu dihormati.
“Mandat UNRWA perlu dilindungi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan keperluan asas kepada pelarian Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan ini, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan konkrit bagi mempertahankan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa. – MalaysiaGazette
















