Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota yang dicemari jerebu berikutan insiden kebakaran hutan di Kalimantan, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya menghentikan serta-merta segala aktiviti luar bilik darjah, termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan, terutama di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa terpelihara susulan keadaan jerebu dan cuaca panas yang melanda negara.

Menurutnya, beberapa lokasi ketika ini menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat akibat situasi jerebu dan cuaca panas yang berlaku di luar jangkaan.

“Sehubungan itu, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM supaya menghentikan segala aktiviti di luar bilik darjah termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan secara serta-merta, khususnya di kawasan yang bacaan IPU melebihi 100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua institusi pendidikan juga perlu sentiasa merujuk garis panduan berkaitan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid ketika menghadapi cuaca panas serta keadaan jerebu.

Antaranya ialah Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2016 berkaitan persediaan sekolah menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan serta Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan jerebu kritikal.

KPM turut mengingatkan institusi pendidikan supaya memantau bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan murid, pelajar serta warga institusi pendidikan terjamin.

Dalam pada itu, penganjuran acara sukan yang sedang berlangsung di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) akan diselaraskan semula dari segi lokasi pertandingan.

“Lokasi pertandingan akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat atau dijalankan secara tertutup dalam bangunan sekiranya perlu berdasarkan bacaan IPU semasa demi keselamatan dan kesihatan peserta yang bertanding,” katanya.

Mohd Azam berkata JPN, PPD dan semua institusi pendidikan turut disarankan menangguhkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya keadaan cuaca terlalu panas dan berjerebu.

Katanya, pihak sekolah juga perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta-merta,” katanya.

Selain itu, institusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

Murid-murid juga perlu dinasihati serta digalakkan mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi membantu mengawal suhu badan.

Bagi murid asrama, KPM berkata, bekalan air minuman perlu disediakan sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan air.

Institusi pendidikan juga perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan terhadap murid akibat jerebu dan cuaca panas.

“KPM akan memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberikan keutamaan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here