KOTA TINGGI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) perlu melakukan siasatan segera berhubung dakwaan berlaku pencemaran sungai di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan selepas tular dalam Facebook.
“Saya memandang berat isu ini kerana melibatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Perbuatan tersebut didakwa berlaku akibat pembuangan sisa toksik dalam sungai kawasan perumahan tersebut.
“Siasatan segera perlu dijalankan termasuk membuat pemeriksaan pada sampel air bagi mengetahui punca sebenar dan mencari pihak yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar memaparkan sungai di Taman Desaru Utama berubah warna dan berbau busuk dipercayai berlakunya pembuangan sisa toksik.
Beliau berkata, jika terbukti berlaku pembuangan sisa secara tidak bertanggungjawab, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.
Beliau tidak mahu rakyat dan alam sekitar menanggung akibat berpunca kecuaian atau kepentingan pihak tertentu.
“Kita tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk kerana keselamatan rakyat adalah keutamaan kami,” ulasnya.- MalaysiaGazette
















